Siakap Keli

(Video) ”Satu ‘Pengkhianatan’ Kerana Sudah Janji..” – Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan berlakunya ‘pengkhianatan’ terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mungkin menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan dalam masa terdekat.

Menerusi tazkirah yang disiarkan secara langsung di Facebook Parti Keadilan Rakyat, Anwar yang berada di kediamannya di Kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur berkata, menerusi maklumat yang diterima beliau, perubahan tersebut berkemungkinan berlaku esok.

”Jangan pula terganggu dengan gangguan-gangguan semasa. Ada gangguan, memang ada dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu juga pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya..

”Maka menyebabkan ada perubahan dan saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa yang terdekat, mungkin esok, walaupun tidak ada pengumuman malam ini, dari segi maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya.

Menurut beliau, percubaan menjatuhkan PH untuk menubuhkan kerajaan baharu itu membabitkan kerajaan Bersatu dan segelintir pihak dari parti PKR.

“Sekarang ni kita tunggu dulu maklumat, tetapi kita tahu ada percubaan untuk jatuhkan Pakatan Harapan untuk tubuh kerajaan baharu dan melibatkan bekas rakan-rakan kita dalam Bersatu dan juga segelintir pengkhianat dari PKR.

”Kita tunggu dulu, mereka sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi dan belum ada pengumuman,”katanya yang menjawab soalan daripada penyokongnya.

Terdahulu, beberapa mesyuarat tertutup melibatkan parti-parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang telah berlangsung sejak awal pagi tadi.

Semua mesyuarat tersebut telah menarik perhatian media susulan kontroversi pemimpin PH terutama daripada Amanah dan DAP yang dikatakan menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amaran juga dikatakan telah dikeluarkan oleh pemimpin Bersatu untuk mempertimbangan keputusan keluar dari PH sekiranya mereka terus menekan Dr Mahathir.

Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat malam ini.

Sumber: Parti Keadilan Rakyat

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.