Siakap Keli

Covid-19: Seorang Pekerja Hotel Disahkan Positif Selepas 8 Kali Disahkan Negatif

Seorang pekerja hotel di China telah didiagnosis dengan virus Covid-19 selepas lapan ujian yang dilakukan terhadapnya secara berturut-turut gagal untuk mengesan keadaannya semasa dia dikuarantin, lapor Daily Mail.

Menurut Daily Mail, wanita yang berumur 56 tahun itu telah dimasukkan ke wad pengasingan awal bulan ini selepas salah seorang rakannya dijangkiti dengan virus maut tersebut.

Dia telah disahkan dijangkiti pada semalam selepas 3 minggu dikuarantin.

Kes tersebut didedahkan sendiri oleh pegawai kesihatan di Anyue County, Sichuan, dan telah mendapat liputan di portal Sichuan Online hari ini.

Difahamkan, pesakit yang dikenali sebagai Tang itu bekerja di sebuah hotel di Chongqing sebagai tukang basuh pinggan.

Dia pulang ke kampungnya di Anyue pada 23 Januari untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarganya.

Selepas salah seorang rakannya didiagnos dengan virus Covid-19, Tang telah dibawa ke kem kuarantin oleh penguatkuasa pada 2 Februari.

Laporan menyatakan bahawa Tang telah berkunjung ke klinik tempatan sehari sebelumnya namun tidak menjelaskan tentang mengapa dia berkunjung ke klinik itu.

Pada 7 sehingga 23 Februari, staf perubatan telah melakukan sebanyak lapan ujian terhadapnya bagi mengesan jangkitan daripada wabak virus yang membawa maut itu.

Walaupun begitu, kesemua keputusan ujian yang dilakukan telah disahkan negatif.

Wanita tersebut telah diklasifikasikan sebagai pesakit yang disyaki dijangkiti virus Covid-19 pada 16 Februari ketika dia dikuarantinkan di People’s Hospital of Anyue County.

Dia kemudiannya telah dipindahkan ke No. 1 People’s Hospital of Ziyang pada 21 Februari. Doktor di hospital itu pada semalam mengesahkan bahawa wanita tersebut telah dijangkiti dengan virus Covid-19 selepas menggabungkan hasil ujian klinikal dan makmal.

Pegawai kesihatan tempatan kini sedang mengesan orang yang pernah berdekatan dengan wanita tersebut.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa