Siakap Keli

Kongsi Kad Pelajar Tahun 2003, Netizen Teruja Ustaz Abdul Somad Rupanya Siswa UKM

SIAPA sangka, ilmuan terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad rupa-rupanya pernah menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) satu masa dahulu!

Baru-baru ini menerusi akaun Facebook ‘Ustaz Abdul Somad’, sekeping gambar kad matrik pelajar milik Ustaz Abdul Somad ketika di UKM dahulu telah dimuat naik dan ia mendatangkan kejutan buat semua pengikutnya (followers).

Sedikit perkongsian mengenai figura dakwah Nusantara ini, Ustaz Abdul Somad atau nama ‘rasminya’ Prof. Ustaz. Dr. Hj. Abdul Somad Batubara dilahirkan pada 18 Mei 1977. Anak kelahiran Asahan, Sumatera Utara ini pernah menjalani beberapa peringkat pengajian di banyak negara.

Bermula dengan pendidikan rendah di Sekolah Dasar Al-Washliyah, Medan dan tamat pada 1990, beliau menyambung ke peringkat menengah di Madrasah Thanawiyah Mu’allimin Al-Washliyah, Medan dan tamat pada 1993.

Kemudian, beliau ke Madrasah Aliyah Nurul Falah, Air Molek, Inderagiri Hulu dan tamat pengajian pada 1996. Dua tahun selepas itu pada 1998, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda (Licentiate) di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir sehingga 2002.

Selepas pulang dari Mesir, beliau ‘sempat’ meneruskan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, namun hanya sempat untuk dua semester sahaja sebelum beliau berhenti.

Pada tahun berikutnya, pengajiannya dilanjutkan lagi dalam diploma pengajian siswazah lanjutan di Institut Pengajian Islam Tinggi Darul Hadis Al-Hassaniah, Rabat, Maghribi selama tiga tahun dan baru-baru ini, beliau baru sahaja menamatkan ijazah kedoktoran dalam bidang pengajian ilmu hadis pada Disember 2019 dengan mendapat kelulusan cemerlang dari Universiti Islam Omdurman, Sudan.

Berkepakaran dalam kajian hadis serta falsafah perundangan Islam, kini Ustaz Abdul Somad bergerak aktif dalam gerak kerja dakwah dan pendidikan di Indonesia dan Malaysia.

Rentetan dirinya sudah diketahui umum bahawa beliau pernah belajar di UKM, ramai netizen memberi komen tentang rasa kagum akan kefasihan beliau dalam pertuturan Bahasa Melayu.

 

Antara contoh komen dari netizen.

 

Antara contoh komen dari netizen.

 

Sumber: Facebook Ustaz Abdul Somad, Wikipedia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'