Siakap Keli

Saintis Ramal ‘Paru-Paru Dunia’ Hutan Amazon Lenyap Lagi 50 Tahun- Kajian

HUTAN hujan Amazon sedang di ambang kepupusan apabila saintis meramalkan, paru-paru dunia yang kaya dengan ekosistem itu akan ‘runtuh’  bertukar menjadi gurun savanna dalam masa setengah abad lagi.

Selain kitaran ekosistem itu bakal lenyap, terumbu karang di Caribbean juga bakal mati dalam masa 15 tahun lagi, lapor saintis dalam jurnal Nature Communications.

Fenomena yang dipanggil sebagai ‘perubahan rejim’ ini akan memberi akibat yang dahsyat kepada manusia dan spesis hidupan lain yang berkongsi habitat sama, iaitu bumi.

Kedua-dua kebimbangan ini dijangkakan tidak dapat dipulihkan lagi, daripada pemanasan global dan kemusnahan alam sekitar; pembalakan di hutana Amazon dan pencemaran serta pengasidan terumbu karang.

Panel penasihat sains iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); IPCC berkata, kira-kira 1.5 darjah Celcius pemanasan atmosfera di atas peringkat pra-industri akan memusnahkan sebanyak 90 peratus terumbu karang di seluruh dunia. Peningkatan 2C akan ‘mendekatkan’ mereka dengan kematian.

Gambar rajah menunjukkan keluasan Hutan Amazon dan beberapa kawasan yang sudah dimusnahkan. Gambar: AFP

Permukaan bumi (kini) sudah mencapai tahap kepanasan lebih daripada 1C.

Kira-kira 20 peratus daripada kawasan hutan hujan Amazon – yang meliputi lebih 5 juta kilometer persegi telah digondol sejak 1970 untuk memberi laluan kepada pengeluaran kayu-kayan (pembalakan), ladang hutan, kelapa sawit, ladang penternakan dan sebagainya.

Satu kajian lain mendapati, hutan tropika di seluruh dunia telah kehilangan kemampuannya untuk menyerap karbon dioksida (Co2) disebabkan pembakaran bahan api fosil, dan Amazon kini dalam proses bertukar dari ‘sinki’ (yang sepatutnya mengumpulkan) Co2 kepada ‘sumber’ pelepasan karbon tersebut.

Kebakaran berskala besar di Amazon yang memusnahkan kira-kira 900 ribu hektar pada 2019 lalu. Gambar: Google

Hutan di seluruh dunia, terutamanya jenis tropika menyerap sebanyak 25 hingga 30 peratus Co2 yang dilepaskan manusia ke atmosfera. Laut pula sebanyak 20 ke 25 peratus.

“Manusia perlu bersedia akan perubahan (dunia) yang lebih cepat daripada dijangka,”

“Dan juga kebakaran besar luar kawalan di Australia dan Amazon baru-baru ini yang tegang akibat perubahan iklim (climate change), menandakan bumi kini bagai ‘telur di hujung tanduk’,” kata ketua pengarang, Simon Willcock, profesor di Bangor University’s School of Natural Science.

Penyelidik turut menganalisis bahawa transformasi di lebih 40 persekitaran alam semulajadi di darat dan di air, akan berubah dari sekecil kolam hingga ke Laut Hitam.

Salah satunya adalah Sahel di Afrika, dahulunya adalah kawasan hutan hijau, kini berubah menjadi padang pasir akibat perubahan iklim.

“Sistem (ekosistem) besar ini boleh runtuh lebih cepat dari apa yang anda bayangkan,” kata John Dearing, profesor di Southampton University, England.

Sahel, Afrika. Gambar: Google

Sumber: AFP

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'