Siakap Keli

Ramai Tak Tahu, Hari Ini Dunia Sebenarnya Menyambut Hari Tidur Sedunia

SIAPA saja yang tidak suka tidur, bukan?

Tidur adalah satu ‘kenikmatan’ dunia kerana amalan tersebut dipercayai mampu merehatkan badan, otak, menghilangkan rasa letih mahupun stress.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberikan garis panduan dalam etika tidur seperti sunnah tidur mengiring, sunnah tidur sebentar pada waktu tengah hari dan banyak lagi.

Program Hari Tidur Sedunia memberi kesedaran mengenai kepentingan tidur yang berkualiti dalam kehidupan seharian manusia. Gambar: worldsleepday.org

Namun, tahukah anda, sebenarnya tarikh 13 Mac pada hari ini adalah Hari Tidur Sedunia?

Hari Tidur Sedunia atau World Sleep Day adalah sambutan setiap tahun, dicipta untuk meraikan amalan tidur dan panggilan untuk bertindak (call to action) pada isu-isu penting yang berkait dengan tidur, termasuklah perubatan, pendidikan, aspek sosial dan pemanduan kenderaan.

Ia ditubuhkan oleh World Sleep Society, bertujuan untuk mengurangkan beban bagi masalah tidur dalam kalangan masyarakat melalui langkah pencegahan yang lebih baik dan pengurusan gangguan tidur.

Selain itu, Hari Tidur Sedunia ini disambut pada hari Jumaat sebelum Spring Vernal Equinox setiap tahun dan tarikh sambutan akan datang jatuh pada 12 Mac 2021.

Tidur ketika memandu kerana mengantuk sangat mengancam nyawa. Gambar: Google

Siapakah pencipta Hari Tidur Sedunia?

Pihak pertama yang mempengerusikan Hari Tidur Sedunia ini adalah Liborio Parrino, Penolong Profesor Neurologi di Parma University, Itali dan Antonio Culebras, Profesor Neurologi, Upstate Medical University serta konsultan, The Sleep Center, Community General Hospital, Syracuse, New York, Amerika Syarikat.

Kenapa Hari Tidur Sedunia dicipta?

Golongan profesional dan penyelidik dalam perubatan tidur menolak kepercayaan bahawa tidur tidak begitu penting dalam kesihatan manusia. Pengasas sambutan kesedaran ini mahu menyampaikan tentang kepentingan mempunyai tidur yang sihat.

Siapa yang menyokong Hari Tidur Sedunia?

Program kesedaran ini menerima sebarang tajaan korporat untuk membantu kos perjalanan program, tetapi World Sleep Society atau mereka yang bergabung dengan pertubuhan tersebut tidak menyokong sebarang pihak yang mengesyorkan produk komersial, rawatan atau syarikat.

Selain itu, menurut kajian Mark Stibich, felo di Infectious Diseases Society of America menjelaskan 10 kebaikan tidur yang berkualiti dan sihat;

  1. Tidur yang sihat membawa kepada jantung yang sihat
  2. Tidur boleh mengubati kanser
  3. Tidur boleh mengurangkan stres
  4. Tidur boleh mengurangkan keradangan
  5. Tidur membuatkan kita lebih peka
  6. Tidur mampu menguatkan daya ingatan
  7. Tidur membantu mengurangkan berat badan
  8. Tidur menjadikan kita lebih smart
  9. Tidur mengurangkan risiko kemurungan
  10. Tidur membantu tubuh badan pulih dengan sendiri

Sumber: World Sleep Day, Very Well Health

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.