Gambar: Bernama

Covid-19: Mesyuarat Agung PIBG, Festival Guru Antara Yang Disaran Tangguh

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan agar semua aktiviti dan program berkaitan pendidikan yang menghimpunkan orang ramai ditangguhkan, susulan penularan COVID-19 ketika ini.

Ia termasuk program sukan dan aktiviti ko-kurikulum, perhimpunan rasmi sekolah, program sambutan keraian, program latihan, mesyuarat, persidangan, kolokium, kem, seminar, kursus, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Festival Guru Malaysia dan seumpamanya.

Perkara itu terkandung dalam surat daripada KPM berkenaan pelaksanaan perhimpunan sekolah semasa penularan COVID-19 di sekolah-sekolah di bawah KPM bagi memastikan kualiti kesihatan warga sekolah sentiasa diutamakan dan terjamin.

Surat bertarikh 13 Mac itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib dan ditujukan kepada semua pengarah pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri. Ia susulan Surat Langkah-langkah Menangani Penularan Wabak COVID-19 daripada Ketua Setiausaha Negara pada tarikh sama yang menyarankan semua kementerian supaya menangguhkan program-program tidak kritikal yang menghimpunkan orang ramai.

Bagaimanapun, jika terdapat aktiviti yang tidak dapat dielakkan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau sekolah diminta mengambil tindakan antaranya melaksanakan saringan suhu badan, tidak digalakkan bersalaman dengan tetamu dan murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Sementara itu, dalam surat berasingan oleh KPM pada tarikh sama berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di sekolah-sekolah di bawah KPM, antara langkah pengawalan yang dinyatakan ialah murid dinasihati supaya tidak mengikuti sebarang program yang akan dianjurkan di negara terjejas dan berisiko tinggi seperti China, Jepun dan Itali.

Bagi proses disinfeksi, ia perlu dilakukan dengan panduan dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan sebarang tindakan penutupan sekolah atau kelas adalah tertakluk kepada pengetua dan guru besar setelah mendapat nasihat JKN dan PKD.

SOP itu turut menyatakan tentang carta alir pengurusan murid yang pulang/datang dari negara terjejas wabak COVID-19 serta garis panduan pemantauan atau kuarantin di rumah.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my