Siakap Keli

Jangan Percaya 5 Mitos Virus Korona Yang Tular Ini, No. 4 Paling Mengarut

Malaysia setakat ini mencatatkan sebanyak 553 kes posotif Covid-19. Keadaan semasa yang melanda negara ketika ini turut mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat.

Hello Doktor dalam satu artikel yang dimuat naik baru-baru ini berkongsi mengenai 5 mitos berkaitan Covid-19 yang tular di media sosial.

Ikuti penulisan oleh penulis Hello Doktor, Mohammad Nazri Zulkafli dengan fakta perubatan disemak oleh Dr. Joseph Tan dibawah.

Sedang dunia digemparkan dengan jangkitan wabak virus korona baharu (COVID), terdapat pelbagai mitos yang berlegar-legar dalam masyarakat tempatan menyebabkan kefahaman yang salah terhadap virus baharu ini.

Mari kita sama-sama amati 5 mitos berkenaan dengan virus korona baharu yang boleh menyebabkan huru-hara tanpa sebab.

1. Penularan melalui barangan dari China merupakan mitos virus korona

Pada Januari 2020, telah tular berkenaan dengan risiko untuk seseorang individu itu mendapat jangkitan melalui barangan yang ditempah secara atas talian dari China. Perkara ini mempengaruhi kadar jualan dan ekonomi negara China secara menyeluruh.

Jika jangkitan boleh disebarkan melalui barang yang ditempah secara online, sudah tentu ramai yang mahu membatalkan pesanan mereka, bukan? Banyak syarikat jualan di Malaysia yang mengimport peralatan dari China mengalami masalah bekalan stok.

Perkara ini menyukarkan banyak pihak dan kesannya, kebanyakan barangan yang dibeli tertangguh beberapa minggu bagi tujuan pemeriksaan teliti dan pembasmian kuman di China.

COVID mempunyai sifat yang lebih kurang sama dengan virus korona yang pernah menyebabkan sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Disebabkan itu jugalah ada organisasi yang menggunakan gelaran SARS-CoV-2 bagi merujuk kepada virus korona baharu.

Jika ia juga memiliki sifat yang sama, maka tempoh jangka hayat ini di luar badan hanyalah beberapa jam. Kalaupun terdapat sumber tinja, ia boleh hidup selama 4 hari, namun kebanyakan barang yang dieksport bersih daripada sumber tersebut.

Meskipun pekerja yang bekerja menyebarkan virus korona pada kotak itu sekalipun, ia akan melalui proses pembasmian kuman sebelum dihantar. Jika kita gandingkan kedua-dua hujah tersebut, apabila bungkusan itu tiba di Malaysia, ia bebas daripada unsur-unsur jangkitan COVID.

Setakat ini tiada bukti yang mengatakan virus korona boleh menjangkiti individu melalui barangan import.

2. Mitos virus korona yang tular – minum alkohol boleh sembuhkan jangkitan COVID

Walaupun alkohol dapat membunuh pelbagai jenis bakteria dan virus pada kepekatan tertentu, namun minuman alkohol tidak boleh membasmi jangkitan tersebut. Secara logiknya, jika ia boleh digunakan sebagai rawatan alternatif COVID, ia juga boleh digunakan untuk merawat jangkitan lain.

Pengarah Kawalan dan Penghindaran Penyakit di Pusat Kesihatan San Francisco telah mengesahkan ura-ura tersebut sebagai mitos. Menurutnya, minuman beralkohol tidak boleh menyembuhkan atau menyebabkan jangkitan tersebut.

Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan subjek COVID, maka lebih elok jika kita tidak terlibat sama dalam menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Mungkin anda cenderung untuk menggunakan hujah hand sanitizer yang mengandungi 60% alkohol sebagai alasan.

Namun, ketahuilah bahawa, cara yang paling berkesan untuk mengelakkan jangkitan bukanlah dengan menggunakan hand sanitizer tetapi amalan basuh tangan menggunakan air dan sabun. Jika tiada air dan sabun, baru lah boleh guna hand sanitizer tersebut.

Jangan minum air dan sabun pula, ya?

3. Guna vaksin pneumonia untuk elak jangkitan virus korona. Ini adalah mitos

Walaupun virus korona baharu boleh menyebabkan masalah jangkitan paru-paru (pneumonia), penggunaan vaksin pneumonia tidak boleh melindungi anda daripada jangkitan ini.

Vaksin tersebut hanya boleh melindungi anda daripada jangkitan virus tertentu sahaja seperti pneumokokus dan Haemophilus influenza jenis B (HiB). Setiap virus mempunyai struktur genetik yang berbeza.

Jangan pula anda batalkan niat untuk mengambil vaksin tersebut jika anda belum mendapatkannya. Anda perlu melindungi diri anda daripada jangkitan lain juga.

Walaupun masih tiada lagi vaksin yang boleh melindungi individu daripada jangkitan COVID, syarikat terkemuka seperti Novavax dan Johnson & Johnson sudah mula mencipta vaksin bagi jangkitan ini.

Ia perlu melalui proses tapisan klinikal bagi menguji keberkesanan dan risikonya terlebih dahulu sebelum disahkan selamat untuk diambil. Perkara ini mungkin akan mengambil masa yang lama.

4. Sayur kangkung boleh menyembuhkan jangkitan COVID. Ini mitos yang popular baru-baru ini

Perkara yang disampaikan oleh seorang doktor perubatan tempatan berkenaan dengan kelebihan sayur kangkung dalam merawati virus korona baharu tidak mempunyai sebarang bukti atau penerangan sains yang jelas.

Tambahnya lagi, jika ingin mencegah jangkitan ini, anda perlu kerap mandi.

Suka untuk penulis ingatkan di sini bahawa garis panduan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) adalah untuk setiap individu membasuh tangan secara kerap.

Perkara ini telah disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) maka anda tidak perlulah paranoid dan mandi 6 hingga 7 kali sehari. Ianya tidak produktif atau memberikan sebarang kesan positif terhadap pembasmian virus korona baharu.

Penggunaan sayur kangkung juga tidak terbukti oleh mana-mana badan kesihatan global. Sedangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun menggalakkan garis panduan yang selari dengan CDC.

5. COVID boleh tersebar melalui mata

Ada sedikit kebenaran pada mitos ini. Jika anda tidak mencuci tangan anda yang bersentuh dengan pelbagai permukaan, tindakan menggosok mata boleh menyebabkan jangkitan.

Namun, secara amnya, jangkitan COVID tidak boleh tersebar melalui mata. Tiada bukti yang mengatakan ia bertindak sedemikian.

Ia telah disahkan merebak melalui titisan air di udara melalui bersin dan batuk. Selain daripada itu, jangkitan ini juga boleh merebak melalui sentuhan dengan objek yang tercemar dengan virus tersebut.

Konklusi

Sekiranya anda pernah menyebarkan mana-mana mitos seperti di atas, inilah masanya untuk anda membuat pembetulan.

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka, jangan malu, jangan segan. Kongsikan maklumat ini bagi mengelakkan ramai individu mempunyai kefahaman yang salah terhadap jangkitan COVID.

Sumber: Hello Doktor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.