Siakap Keli
Kredit: Bernama

Mangsa Melecur Dalam Kebakaran Di Pengerang Stabil

JOHOR BAHRU, 16 Mac (Bernama) — Keadaan seorang mangsa yang parah dan melecur sebanyak 40 peratus dalam insiden kebakaran di Unit Diesel Hydro Treating (DHT) di Kompleks Bersepadu Pengerang, malam semalam (Ahad) kini stabil.

Arnado Alexander, yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, telah dipindahkan ke Hospital Pakar KPJ.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstraktif Hospital Pakar KPJ Dr Faizal Ali berkata keadaan pesakit setakat ini stabil dan diberikan bantuan pernafasan.

Beliau berkata Arnado cedera parah selepas melecur sebanyak 40 peratus di seluruh badan termasuk bahagian muka, selain mengalami kecederaan di bahagian paru-paru.

“Buat masa ini, mangsa stabil dan kita beri dia tidur serta bantuan pernafasan… tetapi kita kena tunggu (beliau melepasi) masa kritikal selama 72 jam.

“Jadi, harap-harap beliau akan melepasi masa kritikal ini, ada peluang. Selepas itu baru kita akan uruskan kecederaan lain,” katanya kepada pemberita di hospital itu di sini malam ini.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, yang menziarahi Arnado, berkata kerajaan negeri bersedia memberi bantuan termasuk kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran itu.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri juga akan memantau dari semasa ke semasa keadaan ahli keluarga mangsa.

“Saya amat yakin dan percaya pihak Petronas telahpun mengambil langkah bagi memastikan keadaan di Pengerang pulih seperti sedia kala.

“Kita juga akan berbincang dengan Petronas berkaitan apa sahaja yang sekiranya memerlukan kerajaan negeri membantu, kita akan bantu,” katanya.

Dalam kebakaran pada kira-kira 10.50 malam Ahad itu, sebuah unit DHT milik PRefChem terbakar dan meletup yang mengakibatkan lima mangsa rentung manakala seorang lagi parah.

Bagaimanapun, seorang terselamat dalam insiden itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.