Siakap Keli

(Video) Tak Mahu Dikuarantin, Polis Terpaksa Guna Kekerasan Bawa Lelaki Suspek Covid-19 Ke Hospital

Seorang lelaki berumur 68 tahun kontak pertama pesakit COVID-19 terpaksa digari keluar rumahnya di Rumah Pangsa Kos Rendah LDA di Labuan selepas enggan mengikuti arahan menjalani ujian saringan kesihatan dan kuarantin pada jam 4 petang pada Khamis.

Ketua polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata anggota-anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Labuan dan pasukan perubatan dari Hospital Labuan telah menjalankan tugas terpaksa menggunakan kekerasan minima di bawah Seksyen 15 (2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988.

”Kekerasan yang terpaksa dilakukan itu adalah dibuat selepas melihat keperluan berikutan lelaki berkenaan adalah bapa kepada salah seorag jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

”Lelaki berkenaan disahkan sebagai kontak pertama hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak hospital keatas anaknya yang memaklumkan mereka tinggal serumah,” katanya hari ini.

Farid berkata lelaki berkenaan telah diminta hadir secara sukarela untuk menjalani ujian saringan pada 17 Mac, walaubagaimanapun beliau tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk berbuat demikian.

”Susulan daripada keengganan lelaki itu, pada 19 Mac pasukan perubatan Hospital Labuan telah pergi ke alamat kediaman lelaki itu untuk membawanya ke hospital untuk menjalani tempoh kuarantin 14 hari.

”Sekali lagi, lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Labuan meminta bantuan polis bagi melaksanakan perintah dan tugas tersebut,” tambahnya.

Pengesahan polis hari ini adalah susulan video berdurasi 14 saat itu telah tular sejak petang kelmarin yang telah sedikit sebanyak memberi kegusaran masyarakat setempat.

Sumber: Bernama TV

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.