Siakap Keli

Semua Bank Tempatan Tawar Moratorium Sehingga Enam Bulan – PM

SEMUA bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemegang kad kredit yang menghadapi masalah kewangan juga boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada peminjam berjangka.

“Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.

“Manakala sektor korporat juga boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

“Ini adalah penting untuk syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, ketiga-tiga keputusan tersebut adalah hasil daripada beberapa sesi perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Semua langkah-langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.

“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna dan saya amat berterima kasih atas keperihatinan MOF, BNM dan industri perbankan Malaysia,” jelasnya.

Sumber: Twitter

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.