Siakap Keli

Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Bagi Jalankan Audit Terhadap Kematian Pesakit Covid-19 Di Hospital

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah sebentar tadi telah mengumumkan bahawa satu jawatankuasa khas bagi menjalankan audit terhadap kematian para pesakit Covid-19 telah ditubuhkan.

Menerusi satu perkongsian yang dikongsi melalui Facebook KP Kesihatan, jawatankuasa itu akan diketuai oleh  YBhg. Datuk Dr. Christopher Lee, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) bersama-sama dengan pakar-pakar daripada pelbagai disiplin yang berkaitan.

“Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang telah diberikan kepada setiap kes kematian COVID-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan. Hasil analisa ke atas maklumat ini diharap dapat membantu di dalam pengurusan pesakit-pesakit COVID-19,” tulisnya.

Perkara tersebut diputuskan selepas satu mesyuarat bersama Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan diadakan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham Abdullah juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YBhg Datuk Dr Chris yang tampil ke hadapan untuk membantu KKM walaupun sudah bersara.

“Terima kasih diucapkan kepada YBhg Datuk Dr Chris yang sudi membantu walaupun telah bersara daripada perkhidmatan awam pada bulan Januari lalu,” ujarnya.

Sumber: Noor Hisham Abdullah

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa