Siakap Keli
Gambar: MRT, Dr. Ahmad Samhan

Van Bawa Petugas Kesihatan Kemalangan, Doktor Dan Bayi 9 Bulan Meninggal Dunia

GUA MUSANG, 29 Mac (Bernama) — Seorang doktor perubatan dan bayi lelakinya yang berusia sembilan bulan maut manakala tujuh lagi cedera apabila van kesihatan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Gua Musang Superintenden Mohd Taufik Maidin berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan anak lelakinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulilmi.

Nahas itu berlaku pada 9.50 pagi.

“Doktor terbabit meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) pada 11.02 pagi.

“Tujuh lagi yang cedera adalah pasukan perubatan termasuk doktor dan pemandu van milik Jabatan Kesihatan Kelantan, Hospital Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mangsa yang cedera ialah pemandu Mohd Lazim Abdullah, 56, Dr Siti Salwa Mohamad Shokri, 38, Syahirah Muhamad Razali, 20, Dr Norazma Mohamad, 34, Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29, Dr Suzuanhafian Omar, 32, dan Dr Hazirah Sazali, 33.

Mohd Taufik berkata mereka kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Van hilang kawalan

Ketika kejadian, kesemua mangsa yang bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dalam perjalanan ke HGM bagi tugasan rasmi.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, van yang dinaiki mereka hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke dalam longkang di tepi jalan itu.

“Mayat doktor dua beranak itu dihantar ke bilik forensik HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga petang ini dan pihak Polis Diraja Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia kerana dalam perjalanan menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan kejadian malang tersebut.

“Saya dimaklumkan mengenai berita kemalangan maut yang melibatkan pasukan petugas perubatan dari Hospital Kuala Krai.

“Saya mengucapkan takziah buat keluarga mangsa. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Almarhumah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.