Siakap Keli
Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Kitab Aza’imu Duhur, Meramal Virus COVID-19 Adalah Palsu – Jabatan Mufti Negeri Sembilan

SEGELINTIR masyarakat kita masih lagi tidak dapat dipisahkan dengan penyebaran berita atau maklumat palsu.

Asal terima sahaja, terus kongsi pada orang lain tanpa memikirkan dahulu sejauh mana kesahihannya.

Isu ini berlarutan sejak sekian lama, sehinggalah ke tempoh musim wabak COVID-19 kini.

Terbaharu, satu karangan berbahasa Arab yang dikatakan ‘syair’ daripada sebuah kitab bernama Aza’imu Duhur didakwa dikarang oleh ulama’ pada 1,000 tahun lalu mempunyai bahagian yang meramalkan kemunculan wabak COVID-19 pada hari ini.

Mesej berantai berkenaan kandungan syair tersebut telah tersebar ke beberapa media sosial khususnya aplikasi WhatsApp dan akhirnya sampai ke pengetahuan pihak mufti.

Bagaimanapun, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah membuat kenyataan di Facebook bahawa karangan syair kitab tersebut adalah palsu.

“Tularan palsu kitab Aza’imu Duhur meramal virus COVID-19 oleh Abi Ali Addabiziri tahun 565H.

“Tular mengenai tulisan di sebuah kitab mengandungi syair kononnya dikarang oleh ulama’ pada 1,000 tahun lalu untuk meramal virus COVID-19 yang ada pada hari ini.

“Semakan menunjukkan tidak terdapat dalam sejarah pengarang kitab dengan nama ini, tiada karangan atau buku baginya.

“Sebaiknya netizen berhenti daripada menyebarkan perkara-perkara yang palsu ketika negara sedang bergelut dengan penyelesaian masalah bagi penyakit Covid 19 sekarang ini.”

Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Sebab itu Allah SWT berfirman, sekiranya mendapat sesuatu berita, selidiklah atau tabayyun dahulu sebelum menerima atau menyebarkan kepada orang lain.

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 6)

Semoga kita terhindar daripada amalan menyebar berita palsu ini.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'