Siakap Keli
Kredit: Bernama

WHO Jangka Kes COVID-19 Di Malaysia Memuncak Di Pertengahan Bulan Ini

Putrajaya, 3 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan bilangan kes COVID-19 di Malaysia akan memuncak pada pertengahan bulan ini.

Malaysia merupakan negara Asia Tenggara dengan jumlah jangkitan diketahui paling tinggi, iaitu 3,116 kes buat masa ini.

“Berdasarkan data, WHO menjangkakan Malaysia akan melihat peningkatan kes pada pertengahan April,” kata ketua misi WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura, Ying Ru-Lo semalam.

Angka pesakit kritikal diramal bakal mencapai kemuncak pada minggu hadapan, katanya menegaskan ramalan WHO boleh berubah.

“Ada tanda-tanda awal graf mendatar, tapi ia boleh meningkat semula jika langkah kawalan ditarik semula dan jika orang ramai tidak terus berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan telah meramalkan perkara sama sebelum ini.

”Apa yang membimbangkan ialah kes import dijangka meningkat”, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya, disebabkan itulah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di Malaysia diperketatkan.

“Kami bimbang kes-kes import akan meningkat dan itu adalah antara sebab kita melaksanakan PKP selain meneruskan pengesanan kes aktif terutama di kawasan panas, dengan berbuat demikian, kami akan berupaya mengenal pasti, menguji, mengasingkan serta merawat mereka lebih awal.

“Tempoh dua minggu ini amat penting dan jika kita boleh bekerjasama serta memastikan bahawa kita memainkan peranan masing-masing iaitu duduk di rumah, mencuci tangan, mengamalkan jarakan sosial dan disiplin sosial sesama kita, diharapkan dalam tempoh dua minggu ini kita akan dapat meratakan lengkung jangkitan virus itu,” ujarnya.

Setakat ini, seramai 105 pesakit kritikal sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Semalam, KKM melaporkan 208 kes baru dengan lima kematian, menjadikan keseluruhan 50 kematian di Malaysia.

Jumlah kematian itu mewakili 1.6 peratus daripada keseluruhan kes COVID-19 di negara kita.

Sumber: Channel News Asia, Bernama, KP Kesihatan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.