Siakap Keli
Gambar: Shutterstock

Ingkar Arahan PKP, 10 Lelaki Termasuk Tiga Remaja Didakwa

TAWAU, 6 April — Sebanyak 10 lelaki termasuk tiga remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan  mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka berumur antara 16 hingga 43 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau,  Amir Shah Amir Hassan.

Tiga daripadanya didenda RM1,000 atau penjara dua bulan manakala dua lagi didenda RM500 atau penjara sebulan dan seorang didenda RM300 atau penjara 14 hari, jika gagal membayar denda masing-masing.

Seorang lagi tertuduh berumur 21 tahun dihukum penjara tiga bulan. Mengikut fakta semasa polis membuat rondaan PKP pada 3 April lepas, pukul 8.50 malam, pihak polis memintanya pulang semula ke rumah tetapi selepas tiga kali diberitahu, dia masih berdegil dan tidak mengendahkan arahan polis itu.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis daerah Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Bagi kes tiga remaja yang berumur 16 hingga 18 tahun, mahkamah menetapkan 30 April dan 14 Mei untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Semua mereka ditahan antara 2 hingga 5 April di beberapa lokasi termasuk di tepi jalan Kampung Titingan, Batu 3 Jalan Apas dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 di sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Adib Mohd