Siakap Keli
Kredit: Ustaz Ebit Lew/Google

(Video) “Ada Banduan Dah Khatam Al-Quran 20 Kali Sepanjang PKP”, Kisah Dari Sebalik Tirai Besi

Menjelang Ramadhan, ramai Muslim yang mula meningkatkan amal ibadah bagi menyambut bulan mulia ini dengan memanfaatkan masa sepanjang perintah kawalan pergerakan ini.

Baru-baru ini, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew telah melawat Penjara Kajang, di mana salah seorang banduannya dikatakan telah khatam Al-Quran sebanyak 20 kali.

Di sana, beliau bertemu Pengarah Penjara Kajang, TKP Abdul Halim untuk menyampaikan beberapa sumbangan bagi memberi semangat kepada warden dan para banduan.

Mesra bersapa, mereka kemudiannya berbual di dalam pejabat TKP Abdul Halim membincangkan keadaan warga penjara.

Sering kongsi video ustaz

Menurut TKP Abdul Halim, beliau berkongsi video-video ustaz sebagai satu motivasi kepada warga penjara Kajang.

“Saya sebenarnya rakamkan program ustaz, saya masukkan program-program ustaz sebagai satu motivasi kepada saya dan lain-lain.

“Hari ini saya masukkan Cinta Al-Quran di sebalik tirai besi. Ada banduan yang telah khatam Al-Quran 20 kali dah dalam tempoh PKP.

“Semoga Allah membalas segala usaha Ustaz Ebit Lew dengan jannah. Saya tak boleh buat macam ustaz, tapi saya promosikan sumbangan ustaz supaya orang lain sedar,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 37 banduan Penjara Kajang terlibat dengan usaha menjahit baju PPE buat petugas barisan hadapan COVID-19.

Mari kita tonton video perkongsian Ustaz Ebit di bawah. Moga ianya menjadi inspirasi buat kita.

Sebak hari ini dapat bersama memberi semangat pada warden dan banduan Penjara Kajang. Ribuan baju PPE dihasilkan oleh banduan diajar oleh Pegawai penjara.

Penghasilan PPE sentiasa berjalan. Pegawai dan kakitangan penjara sentiasa bekerja disini. Allahuakbar. Tiada cuti.

Saya hantar sedikit sumbangan dan insyaAllah akan hantar 3 mesin basuh saiz besar 24 kg untuk memudahkan urusan ini. Semoga Allah terima semuanya. Semoga Allah sampaikan pahala ini buat mak ayah yang kita semua cintai.

Pengarah Penjara Kajang. TKP Abdul Halim baik sangat. Terharu. Selalu kongsi tentang dakwah saya. Katanya menangis tengok pakcik di jambatan ustaz bawa balik. Terharu ustaz. Tuan Hj Abdul Halim sebak menangis. Allahuakbar.

Banyak lagi kerjasama saya sedia bersama membantu penghuni penjara untuk lebih dekat pada Allah dan menjadi manusia yang baik.

Semoga Allah rahmati Penjara Kajang dan semua penjara menjadi macam universiti, madrasah,dan tempat melahirkan manusia takwa. Syukur dapat bersama usaha dikala COVID-19 melanda.

“Saudaraku, disebalik ujian ada rahmat”

Pertubuhan Kasih Umat Malaysia
CIMB 8603546376

Sumber: Ustaz Ebit Lew

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.