Siakap Keli

COVID-19: Pengusaha Agromakanan Perlu Tingkatkan Keupayaan Pemasaran Digital

Kuala Lumpur, 13 April — Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang yang bertujuan untuk membendung penularan pandemik COVID-19, pengusaha terutamanya daripada sektor agromakanan perlu meningkatkan pemahaman mengenai platform pemasaran digital untuk terus kekal mampan dan berdaya saing serta mengurangkan kebergantungan kepada peraih atau orang tengah.

Ketua Pegawai Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd  Azmi Zainal berkata, PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini sudah tentunya merupakan tempoh yang sangat mencabar bagi perniagaan, namun bagi pengusaha di sektor agromakanan waktu ini perlu dimanfaatkan sebaiknya khususnya dari aspek meningkatkan daya saing dan keupayaan dalam pemasaran digital.

“Inilah masanya dan peluang bagi setiap pengusaha untuk meningkatkan margin perniagaan mereka dan cerita mengenai produk pertanian tidak boleh dipasarkan sepatutnya tidak terjadi pada hari ini sekiranya petani mahir ilmu pemasaran dan lebih berdaya usaha dengan membina rantaian bekalan mereka,” katanya kepada Bernama.

The Holstein Milk Company merupakan pengeluar susu segar jenama terkenal Farm Fresh.

Azmi berkata, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini secara tidak langsung juga telah mengubah landskap pemasaran daripada konvensional kepada pemasaran digital dan keadaan ini dijangka berterusan, justeru setiap pengusaha perlu melakukan penambahbaikan khususnya dari segi menyediakan platform sistem pemasaran digital.

“Pemasaran dalam talian telah menjadi sebahagian dari cara hidup kita, sebelum COVID-19 pun memang telah berkembang dan akan terus berkembang selepas ini.

“Kami juga telah bersedia untuk hadapi keadaan itu dan sentiasa memperkemas pasukan khidmat pelanggan kami dalam usaha memastikan dapat memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan dalam platform pemasaran digital yang dilakukan oleh The Holstein Milk Company ketika ini juga merupakan persediaan bagi menghadapi situasi ekonomi pasca COVID-19 yang sudah tentunya lebih mencabar.

Sejak beroperasi pada 2010, syarikat itu telah mengeluarkan 36 peratus daripada pengeluaran susu mentah negara dan 47 peratus untuk pengeluaran di semenanjung Malaysia.

Selain mengeluarkan susu jenama Farm Fresh, beliau berkata, syarikat itu juga mengeluarkan daging lembu segar organik iaitu ‘Rompin Beef’ yang mula dijual di pasar raya besar Aeon pada Januari 2020, namun ia masih mengekal kaedah pemasaran menggunakan khidmat ejen dan pengedar.

“Kami mempunyai seramai 1,000 orang pengedar sah di seluruh negara, pelanggan rasa lebih selamat membuat pesanan menerusi pengedar di laman Facebook. Sejak PKP ini jualan kami telah meningkat secara mendadak melebihi 100 peratus.

“Bagi menangani keadaan itu kami telah melakukan persediaan khususnya aspek pengendalian sistem pesanan dalam talian serta penghantaran produk kepada pelanggan, semuanya perlu teratur dan berjalan lancar, jadi sistem kami dan rantaian bekalan makanan kami perlu lebih cekap,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan untuk mengembangkan perniagaan industri tenusu, Azmi berkata, ia tetap akan diteruskan bagaimanapun tumpuan ketika ini adalah untuk mengukuhkan dan menambah baik platform pemasaran digital syarikat dalam usaha memastikan setiap pesanan yang diterima sampai ke pintu rumah pelanggan.

“Pada ketika ini jaminan makanan kita sedang diuji, tetapi kami sentiasa positif dan sering mengadakan perbincangan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan kami tidak boleh gagal, sebahagian besar daripada 50 peratus orang yang minum susu segar, mereka memilih produk Farm Fresh.

“Oleh itu kami sentiasa memastikan ladang-ladang tenusu kami mampu mengeluarkan susu segar yang cukup, selain itu kami juga membeli susu segar dari pemilik ladang persendirian yang tidak boleh hantar susu ke restoran atau sebagainya untuk menampung keperluan kami,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul