Siakap Keli

Polis Buru Tujuh Warga Filipina Lari Dari PTS Manggatal

KOTA KINABALU, 13 April — Polis sedang menjejaki tujuh lelaki warga Filipina yang melarikan diri daripada Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP  Habibi Majinji berkata, kesemua suspek berusia 12 hingga 50 tahun itu antara 18 lelaki warga negara Filipina yang cuba merempuh keluar daripada PTS berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Dalam kejadian itu, lima orang berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan manakala selebihnya dapat meloloskan diri. Polis yang menerima aduan mengenai kejadian itu telah menggerakkan operasi di sekitar kawasan PTS dan berjaya menahan enam lagi tahanan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya sedang menjejaki tujuh lagi tahanan yang berjaya meloloskan diri dikenali sebagai Abdillah Harun, 33, Haikal Kadapi, 12, Julham Sahdul, 21, Jamal Nashir, 26, Rafie Sakib, 22, Abdul Damsil, 41, dan Topi Topi Jul, 50 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit diminta menghubungi polis untuk tindakan segera melalui hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088 221191/529211,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan serta kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul