Siakap Keli

Mahkamah Tetapkan 14 Mei Pengurusan Kes Bunuh Zulfarhan

KUALA LUMPUR, 17 April — Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan melecur di beberapa bahagian anggota badan, pada tiga tahun lepas.

Prosiding bela diri tertuduh dalam kes itu yang sepatutnya bersambung semalam (16 April)  ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu Bernama, mahkamah menetapkan 14 Mei sebagai pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu.

Pada prosiding 28 Feb lepas, tiga tertuduh telah memberi keterangan iaitu Muhammad Hasif Ismail (tertuduh ketujuh), Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany (tertuduh kesembilan) dan tertuduh ke-10, Mohamad Syazwan Musa.

Pada 31 Julai 2019, Hakim Datuk Azman Abdullah, memerintahkan 18 penuntut UPNM yang kesemuanya kini berumur  24 tahun membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei, 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei, 2017.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, 2017 dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang