Siakap Keli

Tabik ATM Perketat Sempadan Negara, Misi Kira-Kira 200 PATI Rohingya Ceroboh Malaysia Berjaya Dipatahkan

Sebuah bot memuatkan kira-kira 200 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya yang dilaporkan cuba menceroboh perairan negara di sekitar Langkawi berjaya dipatahkan.

Menurut kenyataan di Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), usaha pencerobohan itu dikesan ketika pesawat C-130H milik TUDM dari No. 20 SKN, dipandu oleh Mej. Faizul Hussein yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang sedang menjalankan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi pada 10.26 pagi semalam.

Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

“Bot tersebut yang sarat dengan kira-kira 200 orang PATI Rohingya, terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6 kilometer) dari barat Pulau Langkawi.

“TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR yang terus digerakkan ke lokasi pengesanan seterusnya berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM serta mengekang pergerakan masuk bot tersebut,” jelas kenyataan tersebut, semalam.

Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

Dalam pada itu, tambahnya lagi, pencerobohan PATI berkenaan sama ada melalui jalan darat atau jalan laut adalah sangat dibimbangi kerana berisiko membawa kluster baharu COVID-19 di negara ini, ekoran keadaan penempatan serta taraf kehidupan yang daif di tempat asal mereka.

Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, bekalan makanan telah diagihkan oleh anak kapal KD LEKIU kepada kumpulan PATI tersebut sebelum mengiringi bot mereka keluar dari memasuki perairan negara.

Foto: Tentera Udara Diraja Malaysia

“Tahniah dan syabas kepada juruterbang dan anak kapal C130H yang berjaya melaksanakan tugas tinjauan maritim udara dan bertindak pantas mengekang pencerobohan oleh kumpulan PATI.

“Ini adalah satu usaha yang bersepadu di antara TUDM, TLDM dan APMM khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

“Operasi pengawasan maritim udara akan terus dipergiatkan tambahan di dalam krisis dunia yang dilanda pandemik COVID-19 yang menjadikan Malaysia sebagai tumpuan kumpulan PATI,” kata kenyataan itu lagi.

Sumber: Tentera Udara Diraja Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.