Siakap Keli

Pantai Di Thailand Sepi Tanpa Pengunjung, Penyu Akhirnya ‘Pulang’ Untuk Bertelur

Beberapa kawasan pantai di Thailand, yang kini sunyi sepi tanpa orang ramai sejak tempoh berkurung dilaksanakan negara itu, dilaporkan dikunjungi spesis penyu yang jarang dilihat untuk tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan portal luar negara, leatherbacks sea turtle ataupun penyu belimbing dikatakan singgah di pantai-pantai negara itu untuk bertelur.

Thailand yang sebelum ini berjaya menarik kira-kira 30 juta pelancong setiap tahun kini hampir lengang selepas kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung bagi menghentikan perebakan COVID-19.

Sejak November tahun lepas, pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 11 sarang telur penyu belimbing ditemui, tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Malah, sarang telur penyu belimbing tidak pernah ditemui dalam tempoh 5 tahun sebelum ini.

”Ia petanda yang bagus untuk kita kerana banyak tempat yang sesuai untuk penyu belimbing bertelur sebelum ini telah musnah di tangan manusia.

”Jika dibandingkan dengan tahun sebelum-sebelum ini, kita tidak pernah menemui sarang sebanyak ini kerana penyu mempunyai risiko kematian yang tinggi sekiranya terperangkap dalam alat menangkap ikan serta manusia yang berada di pantai-pantai,” kata Kongkiat Kittiwatanawong, Pengarah Pusat Biologikal Marin Phuket.

Selain penyu, beberapa media sebelum ini turut melaporkan penampakan haiwan-haiwan keluar memenuhi kawasan-kawasan seperti jalan raya dan taman-taman yang sunyi tanpa kehadiran manusia.

Walaupun COVID-19 memberi impak yang besar kepada manusia, setakat ini ia dilihat tidak memberi sebarang kesan yang ketara kepada alam semula jadi.

Sumber: LAD Bible, Reuters

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.