Siakap Keli

Premis LHDN Mula Beroperasi Esok Dengan Perkhidmatan Terhad

CYBERJAYA, 22 April — Semua premis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kecuali Pusat Khidmat Hasil dan Pusat Transformasi Bandar akan beroperasi semula mulai esok dengan menawarkan perkhidmatan terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga tamat pada 28 April ini.

Mengambil kira usaha berterusan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, LHDN berkata perkhidmatan secara dalam talian akan diberi keutamaan.

“Kaunter perkhidmatan e-Filing dan kaunter Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak dibuka. Sebarang pengisian e-Filing dan permohonan baharu serta rayuan BPN boleh dilakukan sendiri secara dalam talian melalui sistem yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LHDN berkata taklimat percukaian dan pembukaan kaunter perkhidmatan di luar pejabat LHDN turut ditangguhkan sementara sehingga dimaklumkan kelak.

LHDN berkata pemeriksaan saringan suhu badan dan gejala COVID-19 akan diteruskan terhadap semua pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat yang hadir ke premisnya dan mereka dikehendaki sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mematuhi arahan jarakan sosial sepanjang berada di dalam premis.

“Proses saringan ini turut akan diperketatkan kepada pelawat dan pelanggan yang hadir untuk janji temu dengan pegawai, di mana mereka perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan (BPK) yang disediakan sebelum kebenaran untuk berurusan dengan pegawai diberikan,” katanya.

“Jika tiada keperluan yang benar-benar mendesak, pelanggan dan pelawat dinasihat untuk menangguhkan kehadiran ke premis LHDN buat masa ini dan boleh meneruskan sebarang urusan percukaian mereka melalui telefon, e-mel dan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan,” tambahnya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara) dan HASiL Live Chat serta melalui laman sesawang dan media sosial rasmi LHDN.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul