Siakap Keli
Gambar: Google

Universiti Oxford Bakal Buat Ujian Vaksin COVID-19 Ke Atas Manusia Bermula Khamis Ini

Vaksin berpotensi bagi COVID-19 yang dibangunkan di Universiti Oxford akan mula diuji ke atas manusia bermula Khamis ini.

Salah seorang daripada pasukan penyelidik Oxford berkenaan mengatakan, sekiranya ujian itu berjaya, maka dos vaksin akan disediakan dalam skala besar, mencapai angka juta untuk digunakan tahun ini, lapor Independent.

Difahamkan, tempoh penghasilan normal bagi sesuatu vaksin akan mengambil masa hingga kira-kira 18 bulan atau lebih.

Namun, Ketua Penyelidik Oxford, Profesor Sarah Gilbert percaya, pembuatan vaksin COVID-19 dalam jumlah besar tersebut akan siap seawal September tahun ini, kira-kira bersamaan selepas sembilan bulan wabak itu mula menular dari Wuhan, China akhir tahun lepas.

Bagaimanapun, mengenai tempoh keberkesanan penghasilannya untuk disediakan kepada warga UK serta penduduk dunia, salah seorang penyelidik, Profesor Andrew Pollard berkata, sasaran angka tersebut boleh dicapai sekiranya segala persediaan fasiliti sudah lengkap serta tiada masalah dalam proses teknikalnya yang kompleks.

“Akan tetapi bagi satu skala yang terlalu besar, ia mesti memerlukan usaha teknikal yang begitu besar juga dan saya rasa ia tidak mungkin mampu disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Jika ujian klinikal tersebut berjaya, ia akan menghadapi rintangan teknikal yang besar untuk menyediakan dos vaksin bagi jutaan, puluhan juta mahupun bilion manusia di dunia ini.

“Ia adalah proses pembuatan yang sangat berbeza untuk membuat vaksin dalam jumlah yang banyak dan keupayaan untuk menghasilkannya bagi seluruh dunia adalah sangat terhad,” jelasnya pada agensi Sky News.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Matt Hancock menjelaskan, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak 20 juta pound (RM108.1 juta) untuk pasukan penyelidik Oxford bagi ujian klinikal virus tersebut serta 22.5 juta pound (RM 121.51 juta) lagi untuk penyelidik di Imperial College London.

Kadar jangkitan COVID-19 di UK kini sudah memuncak ke angka 129,044 kes dengan kematian sebanyak 17,337 kes yang dicatatkan.

Sumber: Independent

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.