Siakap Keli

Keluar Awal Pagi Demi Jaga Kebersihan, Nukilan Anak Buat Ayah ‘Frontliner’ Undang Sebak

Ada orang yang cukup bertuah apabila hanya dapat melakukan kerja walaupun berada di rumah. Namun, ada juga yang harus bekerja di luar tatkala wabak COVID-19 semakin menular. Jika dilihat, ramai yang bekerja sebagai seorang petugas barisan hadapan pada ketika ini, tidak kira sama ada doktor, polis, tentera ataupun penghantar makanan.

Baru-baru ini, tular di Facebook tentang seorang lelaki Singapura, Syazwan Majid yang memberikan penghargaan kepada insan yang bekerja di barisan hadapan.

Apa yang lebih mengharukan, insan yang dimaksudkan itu adalah ayah kandungnya sendiri.

“Tidak, dia bukan doktor atau jururawat, dia juga tidak boleh membaca atau menulis. Dia hanyalah seorang lelaki yang rajin menjaga kebersihan jalan dan taman kita dan telah melakukannya sepanjang empat dekad dalam hidupnya,” kata Syazwan.

“Tetapi orang seperti ayah saya, tidak dilupakan juga pekerja-pekerja dalam perkhidmatan penting yang lain seperti penghantar makanan, pemandu pengangkutan awam dan pekerja pasar raya memainkan peranan penting dalam memastikan negara kita terus bergerak di waktu yang sangat mencabar ini.”

“Ayah saya dan pekerja-pekerja penting yang lain masih keluar menjalankan tugas – meletakkan diri mereka terdedah kepada musuh tersembunyi ini. Perkara ini lebih membimbangkan saya kerana ayah saya adalah warga emas, menjadikannya antara kumpulan masyarakat kita yang terdedah,” kata Syazwan lagi.

“Saya mengambil masa ini untuk menggesa orang ramai agar mengambil arahan duduk di rumah ini dengan lebih serius. Mainkan peranan anda dalam menjaga keselamatan warga emas, orang tersayang dan keluarga serta tidak membebani pekerja barisan hadapan kita.”

“Walaupun mereka menghargai nyanyian, tepukan dan sorakan yang telah kita berikan selama ini, bentuk penghormatan terbesar yang dapat kita berikan melalui kemampuan kita sendiri adalah dengan hanya duduk di rumah. Keadaan sekarang sudah menjadi sukar, jadi janganlah kita menjadi orang yang memberikan kesukaran.”

“Tolonglah, mari kita lakukan kebaikan bersama dengan tinggal di rumah untuk orang-orang tua kita, tinggal di rumah untuk pekerja barisan hadapan kita,” tambah Syazwan lagi.

Menurut Syazwan lagi, dia mengambil gambar ayahnya secara senyap-senyap semasa Sahur ketika ayahnya itu sedang bersiap untuk keluar bekerja awal pagi.

“Saya berasa terharu melihat betapa luar biasanya ayah saya serta betapa  bangga dan bertuahnya saya menjadi anaknya – tidak kira apa pandangan masyarakat terhadapnya.”

“Saya berdoa kepada Allah SWT untuk melindunginya, memberkati dia dengan kesihatan dan kebahagiaan di dunia ini dan tahap Syurga yang tertinggi di akhirat atas pengorbanan yang telah dia lakukan untuk ibu, adik-beradik saya serta saya sendiri sejak dia berkahwin dengan ibu dan mulakan hidup sebagai keluarga bersama. Amin,” ujarnya.

Sumber: Syazwan Majid

Adib Mohd

Nur Farra