Siakap Keli

Aerodyne Lakukan Penerbangan Dron 1,000 Jam Bantu PKP

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Syarikat pembekal perkhidmatan dron, Aerodyne Group melakukan lebih 1,000 jam penerbangan dron dalam tempoh sebulan bagi membantu kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasas dan juga ketua pegawai eksekutifnya, Kamarul A Muhamed berkata dengan purata kelajuan 40km sejam, pasukan dron itu telah membuat penerbangan lebih 40,000km, yang bersamaan dengan jarak penerbangan mengelilingi dunia.

”Kami amat teruja dengan pencapaian penerbangan 1,000 jam itu dan amat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang diberi kepercayaan, mememainkan peranan menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

“Dron dan teknologi data telah terbukti sebagai mekanisma yang kukuh dan berkesan dalam memerangi COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan itu telah menggunakan platform perkongsian data dan analitis berasaskan GIS yang cekap dan selamat, vertikalitiOps, untuk menyediakan analitis dan streaming video tepat masa, sekali gus meningkatkan keberkesanan pasukan itu.

“Sistem ini juga menampilkan data lokasi jangkitan COVID-19 untuk meningkatkan lagi kesedaran situasi mengenai kawasan penularan dan operasi dron,” tambahnya.

Pasukan 23 Aerodyne yang melibakan dua ‘Aerorangers’ tiap satu pasukan, menyertai projek itu secara sukarela, manakala syarikat itu menyediakan peralatan dron bernilai lebih RM2.5 juta di samping perkhidmatan bernilai RM1.5 juta atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR).

— BERNAMA

Nur Farra