Siakap Keli
Gambar: Agensi

Tiada Kes Baru COVID-19 Untuk Tempoh Hampir 3 Minggu, Vietnam Buka Semula Sekolah

Selepas hampir 3 minggu tiada sebarang kes jangkitan COVID-19 baharu dilaporkan, kerajaan Vietnam memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan di seluruh negara.

Menurut laporan ABC News, pelajar-pelajar telah mula kembali ke sekolah pada Isnin lalu (3 Mei) selepas hampir tiga bulan ia ditutup bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Bagaimanapun, kerajaan tetap mewajibkan pelajar memakai topeng muka di samping menjaga jarak sosial sesama mereka.

Dalam menyahut saranan langkah keselamatan kerajaan, seorang guru, Dinh Bich Hien berkata, terdapat banyak alat sanitasi tangan (hand sanitizer) yang disediakan di beberapa kawasan di sekolah.

“Pelajar juga akan diperiksa suhu badannya terlebih dahulu sebelum mereka memasuki pagar sekolah.

“Apabila berada dalam kelas pula, kondisi kesihatan setiap pelajar akan disemak dan direkodkan,” katanya.

Gambar: Agensi

Mengimbas kembali, semua institusi pendidikan di Vietnam telah diarahkan kerajaaan untuk ditutup serta-merta pada awal Februari lalu sebaik sahaja kes pertama COVID-19 di negara itu dilaporkan.

Namun, sebagai alternatif dalam menjamin kelangsungan pendidikan, sesi pembelajaran tetap diteruskan secara atas talian.

Pada bulan lepas juga, negara itu turut menjalankan sekatan ke atas pelancongan dan sektor perniagaan untuk tempoh tiga minggu.

Vietnam setakat ini telah mencatatkan sebanyak 271 kes positif COVID-19.

Menariknya, tiada sebarang kes jangkitan baharu yang dilaporkan sejak hampir tiga minggu lalu.

Terbaharu, mengikut kemas kini terkini di portal tempatan Vietnam Times hari ini, Menteri Kesihatan mengesahkan negara itu tidak lagi merekodkan kes baharu buat hari ke-19 secara berturut-turut.

Sumber: ABC, Vietnam Times

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.