Pergerakan Rentas Negeri Selepas 10 Mei Perlu Kebenaran Polis

PUTRAJAYA, 8 Mei — Pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran daripada pihak polis, dan hanya kes kecemasan sahaja akan dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, individu yang memerlukan kebenaran pergerakan ini boleh memohon di balai polis berhampiran.

“Selepas 10 Mei, pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan seperti kematian, sekatan jalan raya bagi rentas negeri masih kekal,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Gerak Malaysia yang bermula semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ia berjalan lancar, dengan ramai pengguna memulakan perjalanan pada awal pagi.

Menurutnya, situasi di kawasan rehat & rawat (R&R) adalah terkawal dan kadar pematuhan orang ramai kepada peraturan semasa pergerakan rentas sempadan, adalah memuaskan.

Beliau berkata, bagi rentas negeri semalam, PDRM telah memberi kebenaran kepada 26,181 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 kebenaran melalui borang manual, bagi mereka yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman mereka, di negeri-negeri lain.

Bagi pergerakan rentas negeri hari ini pula, PDRM telah memberi 70,538 kebenaran bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan, untuk pulang ke kediaman masing-masing, katanya.

“Esok pula, sebanyak 54,151 kebenaran telah dikeluarkan bagi mereka yang berada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang, manakala bagi mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu sebanyak 77,836 kebenaran telah dikeluarkan untuk pergerakan rentas negeri pada 10 Mei,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri, tidak dibenarkan untuk melencong atau singgah ke destinasi lain, dan perlu meneruskan perjalanan balik.

“Dalam permohonan kepada pihak polis akan ditulis destinasi yang dituju, sebagai contoh kalau perjalanan ke Johor dan kemudian balik semula ke Kuala Lumpur, tidak dibenarkan melencong ke Melaka dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM telah membuat 41,541 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh negara.

— BERNAMA

Dari Wiser.my