Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rentas Tiga Negeri Naik Ambulans Demi Konvo, Kisah Afiq Genggam Ijazah Undang Sebak

ijazah
Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Ada kejayaan yang diraikan dengan bunga dan tepukan gemuruh, tetapi ada juga kejayaan yang membawa seribu satu kisah pengorbanan di sebaliknya.

Di sebalik segulung ijazah yang akhirnya berjaya digenggam, tersimpan perjalanan panjang seorang anak yang tidak pernah berhenti mengejar impian, dan ibu bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi melihat kebahagiaan anak.

Kadangkala, perkara yang dianggap biasa oleh orang lain sebenarnya membawa makna yang cukup besar buat seseorang.

Kehadiran ibu bapa di majlis konvokesyen, mempunyai peluang bergambar bersama rakan-rakan dan saat menerima ijazah mungkin terlihat sederhana, tetapi bagi mereka yang melalui pelbagai ujian kehidupan, momen seperti inilah yang menjadi kenangan paling berharga.

Baru-baru ini tular kisah menyentuh hati dikongsikan oleh pensyarah di University College TATI, Farid Ridhwan Zakaria, menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.

Beliau menceritakan perjalanan seorang graduan bernama Afiq yang akhirnya berjaya menggenggam ijazah selepas melalui perjalanan panjang dalam mengejar impiannya.

Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria

Sanggup redah tiga negeri dengan ambulans

Perjalanan Afiq menuju detik bersejarah itu bukanlah mudah. Menurut Farid, ibu dan ayah Afiq sanggup menempuh perjalanan jauh dengan menaiki ambulans, meredah tiga negeri selama dua hari demi membawa anak mereka menghadiri majlis konvokesyen.

Afiq berdepan ujian kesihatan apabila menghidap tumor otak tahap empat.

“Aku melihat sendiri ketabahan mereka. Kasih dan pengorbanan pasangan ibu bapa ini menjadi inspirasi buat semua,” tulis Farid.

Pengorbanan itu pastinya bukan sesuatu yang mudah. Perjalanan yang panjang perlu ditempuhi demi memastikan mereka dapat bersama-sama menyaksikan detik bersejarah dalam kehidupan anak tersayang.

Bagi ibu bapa, melihat anak berjaya mencapai impian pastinya memberikan kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Segala kesusahan dan penat lelah sepanjang perjalanan seolah-olah berbaloi apabila akhirnya mereka dapat menyaksikan Afiq menerima ijazah yang sekian lama diimpikannya.

Menyimpan impian sejak Asasi

Menurut Farid, kenangannya bersama Afiq bermula ketika SUKIPT 2022. Pada waktu itu, Afiq terpaksa pulang lebih awal dengan menaiki bas kerana perlu menduduki peperiksaan Asasi. Namun, sebelum berangkat, Afiq sempat berkongsi impian dan perancangannya untuk masa depan.

“Saya nak kejar pointer Asasi encik, sambung ijazah dengan MARA dapat duit bulan-bulan. Pastu dapat ijazah.”

Kata-kata Afiq itu masih diingati Farid sehingga hari ini.

Siapa sangka, impian yang pernah diceritakan Afiq sebelum menaiki bas itu akhirnya menjadi kenyataan. Afiq berjaya menggenggam ijazah seperti yang dihasratkannya dahulu. 

Rakan-rakan tinggalkan kerusi dalam dewan demi bergambar bersama Afiq

Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria

Selain pengorbanan ibu bapa, Farid turut berkongsi satu lagi momen yang cukup istimewa dan sukar untuk dilupakan. Malah, beliau turut mengakui tidak pernah menyaksikan perkara sedemikian sepanjang menghadiri kira-kira 10 majlis konvokesyen sebelum ini.

“Selesai majlis, rakan-rakan Afiq meninggalkan kerusi mereka di dalam dewan lalu bergegas mencarinya. Mereka mahu bergambar bersama Afiq, mahu berkongsi kegembiraan itu dengannya.

“Mereka tidak sanggup membiarkan sahabat mereka terlepas daripada kenangan paling bermakna ini,” kata Farid.

Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria

Bagi Farid, keakraban dan keprihatinan rakan-rakan Afiq itu merupakan sesuatu yang cukup membanggakan. Mereka bukan sekadar hadir sebagai kawan, tetapi turut memastikan sahabat mereka merasai kegembiraan yang sama pada hari bersejarah tersebut.

Dalam masa yang sama, seluruh warga University College TATI turut berusaha membantu memudahkan urusan agar Afiq dapat menghadiri majlis konvokesyen berkenaan. Farid sendiri berasa amat bersyukur dan bangga kerana diberikan amanah untuk mengiringi Afiq ketika menerima ijazah yang sekian lama diimpikannya.

“Afiq menggenggam ijazahnya. Ibu dan ayah menggenggam kebanggaan. Kawan menyimpan kenangan bersama. Dan kami semua membawa pulang sebuah kisah yang akan terus hidup di hati,” katanya.

Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria

Farid turut menitipkan doa agar kesihatan Afiq kembali pulih seperti sediakala.

“Kami semua mendoakan kesihatan Afiq supaya kembali seperti sediakala. Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Kredit: Facebook Farid Ridhwan Zakaria

Kisah Afiq menjadi peringatan bahawa di sebalik setiap kejayaan, ada perjuangan yang tidak semua orang mampu menghadapinya. Pengorbanan ibu bapa, keprihatinan rakan-rakan serta bantuan warga University College TATI menjadikan detik kovokesyen itu lebih bermakna.

Semoga Afiq terus diberikan kekuatan, kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam meneruskan perjalanan hidupnya.

Intipati
  • Afiq berjaya menggenggam ijazah selepas menyimpan impian itu sejak pengajian Asasi.
  • Ibu bapanya menaiki ambulans meredah tiga negeri selama dua hari ke konvokesyen.
  • Farid berkata rakan-rakan dan warga University College TATI membantu memeriahkan detik tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan