Siakap Keli
Gambar: Google

100 Rumah Di Teluk Kumbar Dilanda Banjir Kilat

BALIK PULAU, 11 Mei — Hujan lebat lebih dua jam di beberapa kawasan di Pulau Pinang malam tadi menyebabkan 100 buah rumah di sekitar kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Ara, dekat sini dilanda banjir kilat, lewat semalam.

Bagaimanapun, tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan, dalam kejadian banjir kilat yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam itu, dan air mulai surut awal pagi ini.

Seorang mangsa banjir Ahmad Ishak Ibrahim, 53, berkata beliau sekeluarga baru selesai menunaikan solat tarawih dan sedang menonton televisyen apabila air mula memasuki bahagian ruang tamu rumah seterusnya ke bahagian dapur.

“Hujan memang lebat dari pukul 8.00 malam lagi, waktu itu baru sudah berbuka puasa dan solat Maghrib. Hujan lama juga, tahu-tahu air dah masuk dalam rumah dan naik hingga paras betis kira-kira 0.5 meter. Saya dan dua anak sempat angkat barang-barang elektrik ke atas meja supaya tak rosak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Rohayu Hussain, 42, berkata beliau tinggal dengan ibunya dan telah tidur semasa kejadian, sebelum jiran mengetuk pintu rumah memaklumkan kawasan perumahan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat.

Katanya ketika itu air telah masuk hingga paras betis dan beliau terus mengejutkan ibunya, Rodziah Musa, 70, supaya berada beralih ke ruang lebih selamat di tingkat atas, kerana air mula naik dalam rumah mereka.

“Nasiblah jiran mai (datang) beritahu kata air dah naik, saya memang tak sedar sebab dah tidur. Peti ais dengan mesin basuh tak sempat nak selamatkan, air dah masuk… harap-harap masih boleh guna,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata beliau dan pasukannya terus mengadakan lawatan selepas dimaklumkan hampir 100 buah rumah di kawasan Teluk Kumbar dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam di kawasan berkenaan.

“Selain buat pemantauan bagi memastikan semua dalam keadaan selamat, saya turut menyampaikan makanan segera untuk semua mangsa bersahur. Sehingga pagi ini banjir dah kembali surut, semalam sebab hujan lebat sangat itu yang banjir kilat di Teluk Kumbar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd