Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Sabah Catat Satu Kes Baharu Semalam, Babitkan Pelajar UMS

Seorang ahli perniagaan yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar seorang anggota polis yang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun, K.Kalaichelvan, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu, yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Bapa dua orang anak itu didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, jam 2.10 pagi,  3 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa tidak mematuhi isyarat yang diberi oleh seorang pegawai polis yang mengkehendakinya berhenti sebelum sampai di sekatan itu. Dia didakwa mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan sabitan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa tidak memiliki lesen memandu yang membenarkannya memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26 (1) Akta Polis  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26 (2) akta serupa yang memperuntukkan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Haijan Omar, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri serta dua anak yang masih kecil dan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.             Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan sebutan kes ditetapkan pada 18 Jun ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, ahli perniagaan itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di luar rumah di waktu, tarikh dan lokasi sama.

Di didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam lawasan jangkitan seperti diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (No 4) 2020.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Haijan merayu anak guamnnya dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada  jam 2 pagi 3 Mei lalu, Koperal Safwan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan dipandu oleh tertuduh.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right