Siakap Keli

Penduduk Sarawak Tetap Waspada Dengan Kelonggaran PKPB

KUCHING, 13 Mei  — Pembukaan semula sektor perniagaan bermula semalam selepas dihadkan hampir dua bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambut lega oleh warga bandar raya ini, namun ada yang tetap berwaspada dengan kelonggaran yang diberikan itu.

Seorang pengusaha restoran, Goh Pei Pei, 32, berkata beliau tidak akan tergesa-gesa membuka semula perniagaannya susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang diumum Sabtu lepas.

“Masih perlu masa lagi untuk memberikan penerangan kepada pekerja kami tentang SOP (prosedur operasi standard) akan kebiasaan baharu ini serta menyediakan keperluan lain termasuk alat kesan suhu badan, nyahkuman premis dan susun semula kedudukan kerusi dan meja,” katanya kepada Bernama.

Goh yang mengusahakan empat buah restoran bersama keluarganya berkata walaupun perniagaan mereka terkesan dengan penguatkuasaan PKP dan penularan wabak COVID-19, mereka tidak bercadang untuk beroperasi pada kapasiti penuh buat masa ini.

“Untuk permulaan, kami bercadang beroperasi di satu premis sahaja dahulu dan kami hanya akan jual bungkus sebab kami belum bersedia untuk benarkan pelanggan makan di premis,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah kompleks beli-belah di sini mendapati rata-rata premis mula beroperasi dan mengadaptasi SOP yang ditetapkan kerajaan sepanjang PKP Bersyarat (PKPB) ini.

Jurujual di sebuah butik, Jessica Wong, 26, berkata setiap pelanggan yang masuk ke premis itu akan diperiksa suhu badan, dimestikan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mencatatkan nama dan nombor telefon mereka dalam buku rekod.

“Kami turut buat petak garisan menunggu di luar premis bagi memastikan pelanggan mematuhi jarakan sosial dan kami hadkan hanya 10 pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa,” katanya, menambah rata-rata pelanggan mematuhi normal baharu itu dan memberikan kerjasama yang baik.

Seorang pengunjung pusat beli-belah, Rozalia Ganchi berkata walaupun kerajaan telah memberikan kelonggaran, beliau tetap mengehadkan pergerakannya dan hanya keluar rumah untuk membeli barangan keperluan.

Eksekutif Sumber Manusia berumur 24 tahun itu berkata di sebalik pelaksanaan PKPB, negara masih belum bebas daripada ancaman COVID-19 dan rakyat perlu mengekalkan disiplin dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup separuh muka dan jarakan sosial.

“Kita perlu tunjukkan bahawa kita telah belajar sepanjang pelaksanaan PKP dan kita tahu bagaimana untuk mengurangkan risiko dijangkiti tanpa perlu menjalani kawalan pergerakan yang ketat lagi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul