Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Senarai SOP Bagi Solat Jemaah Di Masjid, Surau Terpilih

PUTRAJAYA, 14 Mei — Solat Jumaat dan solat berjemaah dibenar diadakan semula di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Berikut adalah senarai SOP perlaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat terawih dan solat sunat Aidilfitri yang perlu dipatuhi masjid, surau Solat Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan dan empat negeri di bawah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam.

  • Melaksanakan jarakan sosial di dalam dan luar masjid
  • Jarak antara ahli jemaah adalah satu meter dan wajib memakai penutup hidung dan mulut
  • Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga jarakan
  • Jemaah menghidap penyakit kronik, warga emas berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di  bawah umur 15 tahun, tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid
  • Semua jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah  masing- masing ke masjid
  • Jemaah hendaklah terus bersurai dalam keadaan tenang;
  • Tidak dibenarkan berkumpul di dalam atau luar masjid, selesai solat

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menggariskan saranan tambahan kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri, seperti berikut:

  • Mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah
  • Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat
  • Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa
  • Ahli Jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, ahli jemaah harus diarah pulang
  • Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran
  • Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan

– BERNAMA

Adib Mohd