Siakap Keli

Pengusaha FELDA, RISDA & FELCRA Terima Bantuan Khas Aidilfitri RM300 Seorang – Pejabat PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Seramai 113,000 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan menerima Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM300 seorang yang akan disalurkan bermula 18 Mei ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, bantuan khas itu turut diberikan kepada 90,000 pengusaha Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dalam kategori B40 dan 292,000 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah  (RISDA), iaitu pekebun yang mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

Ia melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM148 juta.

“Kerajaan memberikan Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri ini setelah mengambil maklum kedudukan harga pasaran global komoditi seperti kelapa sawit dan getah, yang kian merosot disebabkan penularan wabak COVID-19.

“Situasi ini secara langsung telah menjejaskan pendapatan hampir 500,000 peneroka, peserta dan pekebun kecil yang bernaung di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA di seluruh negara,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kerajaan berharap bantuan khas berkenaan akan dapat meringankan beban warga agensi terbabit, terutamanya dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang