Siakap Keli

Program Imunisasi Pelajar Sekolah Diteruskan, Dibuat Di Fasiliti Kesihatan Kerajaan – KP Kesihatan

Perkhidmatan imunisasi bagi murid sekolah untuk tahun ini masih lagi diteruskan, kini di fasiliti kesihatan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemberian perkhidmatan tersebut tetap dijalankan meskipun sekolah-sekolah ditutup susulan penularan wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

“Pada tahun 2020, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid tahun satu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Infografik: KKM

Mengulas lanjut, tambah Hisham, semua ibu bapa dan penjaga diminta membawa anak-anak mereka yang berada dalam tahun satu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut apabila menerima jadual temujanji melalui pihak sekolah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan imunisasi ini.

“Ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencegah penyakit berjangkit,” tambah kenyataan itu lagi.

Beliau berkata demikian ekoran penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sekolah masih ditutup dan sesi persekolahan turut belum bermula.

Ia melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk murid tahun satu, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan tingkatan satu dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid tingkatan tiga.

Sumber: Halaman Rasmi KP Kesihatan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.