Siakap Keli

Seorang Pemuda Maut, Kereta Lawan Arus Rempuh 2 Penunggang Motosikal

BUTTERWORTH, 15 Mei – Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang memandu secara melawan arus dari Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Dalam nahas pada 10.35 pagi itu, Mohamad Hafiz Bakri, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Lim Kar Tian, 34, cedera parah termasuk patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata nahas itu berlaku apabila kereta warna putih dipercayai dalam keadaan laju telah memandu melawan arus manakala dua motosikal terbabit berada di laluan yang betul dan ingin masuk ke bahagian pulau dengan melalui Jambatan Pulau Pinang.

“Menurut pengguna jalan raya yang melihat kemalangan itu, pemandu kereta tersebut terus memecut laju meninggalkan lokasi kejadian sebaik kenderaan berkenaan melanggar dua buah motosikal itu sehingga seorang maut manakala seorang lagi cedera parah.

“Difahamkan terdapat kerosakan pada bahagian hadapan kereta tersebut namun menurut pengguna jalan raya lain, mereka tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu” katanya di sini hari ini.

Shafee berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat berhampiran lokasi kejadian bagi mengenal pasti nombor pendaftaran kereta itu untuk mengesan pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut tersebut.

Menurutnya, mayat Mohamad Hafiz dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kereta yang melanggar kedua-dua motosikal agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang