Siakap Keli

COVID-19: KKM Bersama MKN Akan Bincang Tindakan Terhadap Ibu Bapa Bawa Kanak-Kanak Ke Tempat Awam

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak ke tempat awam, seperti pasar raya dan hospital bagi mencegah jangkitan COVID-19.

Kanak-kanak adalah antara golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjalankan kaedah nasihat dahulu buat masa ini.

“Tetapi sekarang ini kita akan berbincang bagaimana dapat menguatkuasakan, iaitu mengambil tindakan kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke tempat awam dan juga hospital tanpa temujanji.

“Jadi kita sekarang guna kaedah nasihat, iaitu soft approach, kalau tidak berjaya akan guna kaedah penguatkuasaan,” katanya dalam satu sidang media secara langsung, hari ini.

Dalam pada itu, Hisham menambah, orang awam juga dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM dalam menyambut perayaan hari raya Aidilfitri.

“Kalau tidak patuh SOP, KKM bimbang kes akan meningkat dan kita telah lihat pun di negara-negara lain yang ada perayaan contohnya, kes akan meningkat.

“Kalau tidak ikut nasihat KKM, kita akan guna kaedah lain,” katanya.

Jelas Hisham, buat masa ini tindakan yang dijalankan bagi mereka yang ditahan di sempadan untuk balik kampung hanya dinasihatkan untuk berpatah balik.

“Tetapi mungkin akan dikuatkuasakan kaedah untuk saman dan sebagainya.

“Jadi kita akan berbincang dalam mesyuarat dengan MKN esok untuk melihat kepada tindakan penguatkuasaan,” tambahnya lagi.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit ke 25.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'