Siakap Keli

Pelajar IPT Boleh Dikenakan Tindakan Kerana Plagiat Jika Siapkan Tugasan Guna Pihak Ketiga

KUALA TERENGGANU, 19 Mei — Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dinasihati agar tidak mengambil jalan mudah untuk menyiapkan tugasan mereka dengan menggunakan khidmat pihak ketiga  yang ditawarkan oleh mereka yang  tidak bertanggung jawab yang kini semakin berleluasa di media sosial.

Kegiatan tersebut didapati menetapkan caj  serendah RM50 hingga ribuan ringgit, bergantung kepada kategori tugasan sama ada peringkat diploma, ijazah Sarjana Muda, ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).

Pihak yang tidak bertanggung jawab itu juga menawarkan upah untuk melakukan kajian tesis  dalam bidang kejuruteraan, pembangunan sosial, sejarah serta matematik malah tidak terkecuali bidang sains dan teknologi.

Tinjauan Bernama di laman sosial Facebook mendapati terdapat lebih 10 pautan yang menyediakan perkhidmatan tersebut dan ia ditawarkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Lebih merisaukan ada sesetengah  pelajar IPT yang mengambil jalan pintas itu dan  tanpa segan silu memberikan reaksi yang positif sehingga  ada antara ‘peniaga’ atau pihak ketiga ini, berani memberikan nombor telefon dan e-mel peribadi untuk memudahkan urusan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu Prof Ir Noor Azuan Abu Osman ketika ditanya berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan telah memberi peringatan kepada pelajar universiti itu agar tidak mengambil jalan pintas untuk menyiapkan tugasan dengan menggunakan khidmat pihak yang tidak bertanggung jawab itu.

Katanya, perbuatan tersebut boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk plagiarism di bawah Kaedah 6(2), Kaedah-Kaedah UMT (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 2009 dan tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap pelajar.

“Jika cukup bukti dan sabit kesalahan, pelajar tersebut boleh dikenakan hukuman sehingga dibuang sebagai pelajar UMT. Selain itu, tugasan ataupun tesis akademik pelajar tersebut boleh dibatalkan keseluruhannya,” tegas beliau.

“Justeru, katanya  pihak pengurusan UMT menasihati pelajar agar sama sekali tidak menggunakan perkhidmatan pihak ketiga ini dalam menyiapkan tugasan. Para pensyarah juga perlu menyemak dan meneliti setiap tugasan yang dihantar oleh para pelajar supaya perbuatan ini tidak menjadi amalan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Noor Azuan, pensyarah boleh mengesan perbuatan sedemikian dengan mengenali lenggok bahasa dan fakta, kerana pihak ketiga tidak akan menggunakan elemen yang sama sepertimana pelajar yang mengikuti kuliah.

Katanya, jika tugasan perlu dihantar menerusi kaedah dalam talian, tenaga pengajar di UMT boleh menggunakan perisian Turnitin yang boleh mengenal pasti persamaan antara kerja yang dibuat dengan bahan yang terdapat dalam internet.

Keberanian pihak ketiga ini’ turut menimbulkan kerisauan dalam kalangan pensyarah dan mereka berpendapat perbuatan sedemikian perlu  disekat  kerana jika dibiarkan berleluasa akan melahirkan generasi profesional yang bukan  sahaja  tidak berkualiti pada masa depan malah ia mungkin menjadikan negara ini memiliki tenaga kerja mahir yang  ‘palsu’.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul