Siakap Keli

Ditindih Polis Hingga Mati, Siapa Sebenarnya George Floyd Sehingga Kematiannya Cetus Rusuhan Di AS

Kematian seorang lelaki, George Floyd, pada Isnin lalu di Amerika Syarikat (AS) menjadi tular di media sosial hingga ke seluruh dunia ketika ini. Kata-kata terakhir George sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, meruntun setiap perasaan manusia tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa mahupun agama.

Persoalannya, siapakah George Floyd dan apa yang berlaku kepada lelaki berkulit hitam ini sehingga membangkitkan kemarahan rakyat negara itu dan kecaman bertalu-talu oleh warganet yang menuntut supaya keadilan dapat ditegakkan.

Malah, tanda pagar #JusticeForGeorgeFloyd dan #BlackLivesMatter kini menjadi trending di Twitter sehingga mendapat jutaan ciapan oleh netizen di seluruh dunia.

Siapa George Floyd?

George Floyd yang berusia 46 tahun, merupakan seorang penduduk di bandar Minneapolis dan bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah restoran Amerika Latin yang bernama Conga Latin Bistro di bandar tersebut.

Menurut sumber, George telah bekerja di restoran berkenaan selama lima tahun dan menyewa rumah daripada pemilik restoran itu, Jovanni Thunstrom.

Menerusi muat naik di Facebook pada Selasa, Thunstrom menggambarkan George yang dibesarkan di Houston sebagai bukan sahaja pekerja tetapi umpama keluarga dan kawan yang sangat baik.

”Menonton video ini membuatkan air mata saya mengalir, tubuh saya penuh dengan emosi dan persoalan tanpa jawapan,” tulis Thunstrom.

Kenapa George Floyd ditahan di Minneapolis?

Pada Isnin (25 Mei 2020), George dilaporkan terlibat dalam satu kejadian dengan Jabatan Polis Minneapolis.

Menurut sumber, pada hari tersebut, pegawai polis telah mendapat panggilan daripada sebuah kedai runcit yang mendakwa George telah menggunakan cek palsu di kedai berkenaan.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis Minneapolis, anggota polis yang bertugas telah bertindak ke atas laporan yang diterima.

Apa yang berlaku kepada George Floyd sewaktu ditahan?

Setelah pihak polis mengesan George yang berada berdekatan keretanya, mereka mendakwa beliau ”menentang pegawai secara fizikal” ketika ditahan dan berkemungkinan berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Rakaman kejadian yang tular menunjukkan George mengerang dan merayu berulang kali ”Tolong, tolong, saya tak boleh bernafas,” kepada seorang anggota polis yang menekan lehernya dengan lutut.

Pegawai tersebut dikatakan meletakkan sebelah lututnya lagi di bahagian belakang George, berhampiran tempat tangannya yang digari.

Dalam rakaman menyayat hati itu, George juga dapat didengari berkata ”Jangan bunuh saya, dan mama.. mama..” sebelum dia diam, tidak bergerak lagi dengan mata tertutup.

Sementara itu, menerusi sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak dapat didedahkan, menunjukkan George tidak langsung melawan pihak polis yang menangkapnya ketika itu.

Beliau yang kelihatan tenang di dalam video, akur dengan arahan pihak berkuasa yang menahannya ketika itu.

Ianya sekaligus dikatakan menyangkal dakwaan pihak polis bahawa George bergelut dengan anggota polis dalam kejadian tersebut.

Siapakah Derek Chauvin dan Tou Thao?

Derek Chauvin dan Tou Thao adalah dua daripada empat pegawai polis Minnesota yang terlibat di dalam insiden ini.

Pegawai Chauvin telah dikenal pasti sebagai polis yang menjatuhkan George dan menekannya di leher menggunakan lutut sebelum beliau tidak sedarkan diri di dalam video tersebut.

Pegawai Tou Thao pula dilihat cuba menenangkan orang ramai yang merakam kejadian tersebut dan meminta mereka untuk bersurai ketika mereka menjerit memberitahu bahawa George tidak lagi bergerak.

Polis terlibat dipecat

George kemudiannya disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hennepin County Medical Center.

Polis Minnesota dalam satu kenyataan bagaimanapun mendakwa bahawa kematian itu berpunca daripada satu ‘insiden kesihatan’ susulan berinteraksi bersama polis.

Pada petang Selasa (26 Mei 2020), Datuk Bandar Jacob Frey memaklumkan keempat-empat pegawai yang terlibat dalam kejadian itu telah “diberhentikan” serta-merta.

Pada sidang media pada hari itu, Frey telah menggambarkan kejadian itu sebagai  ”kacau-bilau”.

Dia berkata: “Saya percaya apa yang saya lihat dan apa yang saya lihat adalah salah di setiap peringkat. Menjadi kulit hitam di Amerika tidak boleh dijadikan hukuman mati.

”Selama lima minit kami menyaksikan seorang pegawai kulit putih menekan lututnya ke leher lelaki kulit hitam. Selama lima minit.

“Pegawai ini gagal dalam erti kata manusia yang paling asas.”

Siasatan kini telah dilancarkan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pihak berkuasa di Minnesota.

Rakyat masih tidak berpuas hati

Rusuhan terus dilakukan oleh ribuan penduduk yang tidak berpuas hati dan menuntut agar kesemua anggota polis yang terlibat dijatuhkan hukuman mati.

Gambar: CNN
Gambar: Carlos Gonzalez/Star Tribune via Getty Images

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, mereka dilihat turut  ‘menyerang’ rumah anggota polis yang didakwa membunuh George namun mereka tidak dapat berada lebih dekat kerana rumah tersebut dikawal puluhan anggota polis.

Kematian George Floyd boleh diibaratkan seperti satu kisah kematian yang menggoncang dunia. Mungkin rusuhan yang meletus kini, adalah hasil daripada rasa amarah rakyat yang tersimpan sekian lama akibat sikap perkauman dan diskriminasi warna kulit.

Baca: (Video) Rusuhan Kematian George Floyd Makin Memuncak, Balai Polis Dibakar, 500 Tentera Diarah Kawal Keadaan

Malah, rakyat turut mengaitkan kes ini dengan kejadian serupa yang menimpa Eric Garner, mangsa tindakan kekerasan polis New York yang meninggal dunia akibat kesukaran bernafas dalam kejadian pada 2014.

Apa yang boleh ditafsirkan, walau kita sudah berada di tahun 2020, keganasan yang berlaku terhadap komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat seakan tidak berkesudahan.

Sumber: The Sun, Twitter

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.