Siakap Keli
Gambar: CNN

(Video) Rusuhan Kematian George Floyd Makin Memuncak, Balai Polis Dibakar, 500 Tentera Diarah Kawal Keadaan

Memasuki hari kelima kematian lelaki bernama, George Floyd, yang didakwa disebabkan oleh kekerasan polis di Amerika Syarikat, rusuhan bagi menuntut keadilan oleh rakyat negara itu dilaporkan semakin memuncak.

Protes yang bermula di bandar Minneapolis telah merebak di beberapa bandar besar lain sejak Khamis dengan orang ramai mula turun ke jalan untuk menuntut tindakan sewajarnya terhadap kekejaman polis di atas isu perkauman dan diskriminasi.

Minneapolis dan St. Paul, yang dikenali sebagai “Bandar Berkembar” di Minnesota, menyaksikan tunjuk perasaan secara besar-besaran. Di St Paul, penunjuk perasaan berhadapan dengan polis anti rusuhan dan tembakan gas pemedih mata yang berulang-ulang.

Gambar: CNN

Menurut polis, setakat ini lebih daripada 170 perniagaan telah dirosakkan oleh mereka dengan ribuan lagi mengepung balai polis di Minneapolis dan membakarnya.

Mereka merosakkan bangunan, menyemburnya dengan cat dan bersorak ketika api menjilat bangunan tersebut.

Walau bagaimanapun, semua kakitangan yang berada di dalam bangunan sempat dipindahkan sebelum kebakaran bermula.

Menurut Ketua Bomba Minneapolis, John Fruetel kepada CNN, pihak bomba sedang berusaha mencari jalan untuk memadamkan kebakaran di balai polis tersebut.

Gambar: CNN
Gambar: CNN

Ujarnya, pihak bomba sebelum ini terpaksa berdepan dengan penunjuk perasaan yang bertindak ganas dengan melemparkan batu ke arah mereka ketika sampai di kawasan itu.

”Kita harus berhati-hati dan mempertimbangkan keselamatan anggota bomba yang bertugas.

”Kami mempunyai rancangan dan mungkin akan pergi ke balai polis yang terbakar untuk cuba mengawalnya, tetapi keputusan bergantung kepada keadaan,” kata beliau.

Di Memphis, Tennessee, para penunjuk perasaan berarak melalui pusat bandar selama beberapa jam. Mereka mengangkat papan tanda menuntut keadilan untuk beberapa orang kulit hitam Amerika terbunuh iaitu George Floyd, Ahmaud Arbery, dan Breonna Taylor.

Protes yang dilakukan juga semakin mengganas di kawasan Louisville, Kentucky, tempat di mana salah salah seorang mangsa sebelum ini tinggal iaitu Taylor yang ditembak oleh polis pada bulan Mac.

Selain itu, protes juga dilaporkan berlaku di bandar-bandar lain seperti Denver, Colorado, dan Phoenix, Arizona.

Susulan itu, Pengawal Nasional Minnesota mengumumkan di Twitter bahawa pasukan tentera telah dikerahkan akibat protes besar-besaran yang berlanjutan di St Paul dan Minneapolis.

“Kami telah mengerahkan lebih dari 500 askar ke St Paul, Minneapolis dan kawasan sekitarnya.

”Misi kami adalah untuk melindungi nyawa, memelihara harta benda dan hak melakukan tunjuk perasaan secara aman.

”Objektif utama adalah memastikan pasukan bomba dapat menjawab panggilan dengan sampai ke tempat kebakaran,” kata tweet itu.

Sebelum itu, Datuk Bandar St. Paul Melvin Carter memberitahu CNN, bahawa beliau telah bercakap dengan gabenor Minnesota dan meminta bantuan Pengawal Nasional setelah tunjuk perasaan dan tembakan yang semakin tidak terkawal di negeri itu pada Khamis.

Gambar: KEREM YUCEL/AFP via Getty Images)

“Kami telah meminta bantuan Pengawal Nasional, dan oleh itu kami mengharapkan tindak balas itu akan datang dan kami mengharapkan bantuan mereka akan datang,” kata Carter.

Baca: Ditindih Polis Hingga Mati, Siapa Sebenarnya George Floyd Sehingga Kematiannya Cetus Rusuhan Di AS

Kematian George Floyd mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara setelah tayangan video yang menunjukkan lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu terbaring di atas jalan dengan tangan bergari sambil merayu, “Tolong, saya tidak dapat bernafas,” ketika seorang polis menekan di lehernya dengan menggunakan lutut.

Sumber: CNN

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.