Siakap Keli

Nelayan Hilang Ketika Menangkap Ikan Ditemukan Lemas

ALOR SETAR, 30 Mei  — Nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan seorang diri di muara Kuala Kedah sejak petang semalam ditemukan lemas hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mangsa, Nordin Saad, 52, ditemukan kira-kira 12 tengah hari tadi oleh seorang nelayan kira-kira dua batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

“Mangsa dipercayai tergelincir ketika mengemudi bot sewaktu kejadian berlaku. Mayat mangsa dijumpai tidak sampai 24 jam selepas mangsa dilaporkan terjatuh petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan lima aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan Kedah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Operasi membabitkan seramai 32 anggota dan pegawai serta 25 orang nelayan tempatan yang turut membantu dalam pencarian. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mahmad Faizal sebelum ini dilaporkan berkata Nordin dilaporkan keluar ke laut seorang diri pada pukul 7 pagi semalam untuk menangkap ikan di kawasan perairan itu.

“Sebaik menerima laporan daripada Jabatan Laut Kuala Kedah pada pukul 5 petang semalam, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Langkawi (MRSC) segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“APMM telah menggerakkan sebuah bot ke kawasan yang dilaporkan dan bot mangsa ditemukan dalam keadaan masih berpusing tanpa pengemudi,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung semula pagi ini.

Sumber: BERNAMA

Nur Syafiqah