Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

1,800 Perantau Pulang Beraya Di Kelantan Negatif Covid-19

Kota Bharu: Sebanyak 1,800 perantau yang mendapat kebenaran masuk ke Kelantan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini diuji negatif COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata pihaknya mengadakan pengawasan dan ujian saringan ke atas perantau berkenaan sepanjang tiga hari sebelum sambutan selepas mendapat arahan daripada kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

“Survelan (Pengawasan) dan ujian itu dilakukan di lima pintu masuk di negeri ini termasuk di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini, sepanjang tempoh tiga hari tersebut.

“Kami yakin tiada jangkitan baharu membabitkan perantau yang mendapat kelulusan rentas negeri baru-baru ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaini berkata pihaknya turut mengadakan survelan ke atas pendatang tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah dan beberapa penjara di negeri ini.

“Sebanyak 16 sampel telah diambil di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah dan 30 sampel dari penjara dan kesemuanya adalah negatif.

“Ia akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah tahanan yang dibawa masuk secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seorang ibu mengandung yang pulang untuk bersalin di Kuala Krai menunjukkan tanda-tanda semakin sihat walaupun disahkan positif COVID-19 sebelum ini.

Katanya ujian baharu akan dijalankan ke atas pesakit berkenaan pada hari ke-13 bagi mengesahkan sama ada ibu berkenaan masih positif atau sebaliknya terhadap wabak berkenaan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.