Siakap Keli

Gajah Bunting Dilaporkan Mati Lepas Makan Buah Nenas Berisi ‘Bahan Letupan’

Seekor gajah yang sedang bunting dilaporkan maut setelah memakan sebiji nenas yang dipenuhi bahan letupan di India, lapor Daily Mail.

Menurut Daily Mail, nenas yang berisi mercun diberikan penduduk tempatan itu telah meletup di dalam mulutnya.

Pegawai hutan Mohan Krishnan berkata, gajah tersebut yang bakal bergelar ibu beberapa hari lagi itu berdiri di sebuah sungai yang terletak di daerah Malappuram, utara Kerala.

Gajah liar tersebut dikatakan keluar daripada habitatnya untuk mencari makan di sebuah kampung berdekatan.

“Dia mempercayai semua orang di situ,” tulis Krishnan sambil memperincikan kejadian tersebut di Facebook.

“Ketika nenas yang dimakannya itu meletup, dia pastinya terkejut dan memikirkan tentang bagaimana anak yang bakal dilahirkannya itu nanti.”

Letupan di mulut gajah tersebut telah mengakibatkan lidahnya serta rahangnya cedera teruk. Kesan daripada itu, dia tidak dapat makan atau mengunyah seperti sedia kala.

Krishnan, yang merupakan sebahagian daripada pasukan tindak balas awal untuk membantu haiwan yang tercedera itu menyatakan bahawa, dia tidak merempuh atau merosakkan langsung rumah di kampung itu semasa dia berlari-lari mengerang kesakitan.

“Inilah yang sama katakan, gajah ini sangat baik,” katanya.

Beberapa gambar menunjukkan gajah itu sedang berdiri di Sungai Velliyar dengan bahagian belalai dan mulutnya yang tercedera direndamkan di permukaan sungai tersebut.

Berkemungkinan gajah tersebut sedang berusaha mengelakkan lalat serta serangga mendekati lukanya itu, kata pegawai hutan.

Menyedari berkenaan perkara itu, para pegawai hutan telah membawa dua lagi gajah lain dalam usaha untuk memujuknya keluar daripada sungai itu, pun begitu, menurut Krishnan, gajah tersebut seakan datang ke sungai itu memang untuk mati.

“Saya rasa dia mempunyai deria keenam. Dia tidak mahu kami melakukan apa-apa pun,” tulisnya.

Dia telah dilaporkan meninggal dunia pada hari Rabu lalu ketika sedang berdiri di dalam Sungai Velliyar.

“Dia perlu diberikan penghormatan sewajarnya,” kata Krishnan sambil meratapi gajah itu. “Untuk itu, kami telah membawanya masuk ke dalam hutan dengan sebuah lori.

“Dia telah diletakkan di atas kayu api, di tanah tempatnya bermain dan membesar. Doktor yang melakukan bedah siasat memberitahu saya bahawa dia bukanlah satu-satunya mangsa perbuatan manusia.”

“Saya dapat merasakan kesedihannya walaupun ekspresi mukanya tidak dapat menunjukkan. Kami telah membakarnya di sebuah cerun. Kami membongkok di hadapannya dan memberi penghormatan terakhir kepadanya,” tambah pegawai hutan itu.

Antara 2014 hingga 2015 dan 2018 hingga 2019, sebanyak 510 gajah telah dilaporkan terbunuh dengan cara yang berbeza-beza antaranya ialah terkena kejutan elektrik, kemalangan di landasan kereta api, pemburuan haram dan keracunan, lapor IndianExpress.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa