Siakap Keli

Kes Demam Denggi Meningkat, Ikuti 6 Tips Cegah Nyamuk Aedes Ini

Negara kita sudah menunjukkan penurunan yang ketara terhadap penyebaran COVID-19 berbanding beberapa bulan yang lepas. Ia merupakan berita yang baik dimana usaha kerajaan dan rakyat Malaysia sendiri dalam menentang virus sudah nampak hasilnya.

Namun tanpa kita sedar, demam denggi yang menjadi musuh negara dari dahulu lagi mula menunjukkan peningkatan kes yang dijangkiti. Perkara ini semakin merisaukan apabila negara jiran juga menunjukkan peningkatan kes demam denggi. KKM juga telah menjangkakan kes demam denggi akan naik mendadak lebih-lebih lagi apabila banyak sektor dan sekolah bakal dibuka semula.

Oleh itu, selain menjaga penjarakkan sosial dan kebersihan mengelakkan pandemik COVID-19, masyarakat juga perlu sentiasa berwaspada akan nyamuk Aedes yang yang boleh menyebabkan demam denggi. Ikuti perkongsian HelloDOKTOR yang memberi 6 tips cegah demam denggi  yang  perlu diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Penyakit demam denggi kini semakin meningkat! 

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan peningkatan pada jumlah mereka yang dijangkiti oleh virus denggi.

Dalam tempoh 6 bulan yang lepas, kita sibuk memberikan perhatian kepada jangkitan wabak virus korona baharu (COVID-19).

Sepanjang wabak itu berlangsung, jumlah kes demam denggi di Malaysia mengalami penurunan tren jika dibandingkan dengan statistik tahun lepas.

Pada tahun 2019, antara bulan Januari hingga Jun, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 54,524.

Manakala pada tahun 2020 pula, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan hanyalah sebanyak 48,584.

Nampak macam satu perubahan positif kan? 

Namun begitu, apa yang anda perlu tahu adalah, sepanjang tempoh 6 minggu lepas, jumlah kes demam denggi mengalami peningkatan sebanyak 8% setiap minggu.

Dalam tempoh masa yang sama juga (Januari hingga Jun), tahun 2020 mencatatkan 84 kematian akibat demam denggi.

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan tahun lepas yang direkodkan pada 83 kematian.

Berdasarkan kepada pola peningkatan tersebut ditambah dengan analisis tren kes demam denggi sepanjang 5 tahun lepas, KKM menjangkakan akan adanya gelombang kedua bagi peningkatan kes denggi.

Perubahan tersebut boleh jadi secara mendadak memandangkan kebanyakan sektor negara sudah dibenarkan untuk mula beroperasi.

Nak tahu lebih lanjut tentang potensi peningkatan kes demam denggi sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP)?  Baca artikel ini.

Kawasan persekitaran tempat tinggal dan tempat kerja berpotensi jadi punca pembiakan nyamuk

Apabila PKP dilaksanakan pada bulan Mac, kebanyakan sektor tidak boleh beroperasi sehinggalah kerajaan memberikan kebenaran bermula pada awal bulan Jun.

Dalam tempoh masa 3 bulan tersebut, kebanyakan tempat yang tidak dibersihkan secara berkala berpotensi untuk menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Nyamuk Aedes merupakan perumah kepada virus denggi. 

Berbeza dengan konsep jangkitan yang tersebar melalui udara atau titisan air, virus bawaan nyamuk tidak boleh dihalang melalui penjarakan sosial.

Ia berikutan virus denggi tidak berjangkit secara langsung, ia memerlukan perumah untuk berbuat demikian.

Setiap tahun, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) menganggarkan kira-kira 400 juta kes demam denggi didiagnosis di seluruh  dunia.

Oleh sebab nyamuk Aedes endemik di beberapa benua termasuklah Asia Tenggara, penduduk di Malaysia berisiko untuk dijangkiti denggi.

Terdapat 4 jenis virus denggi dan setiap kali anda dijangkiti, badan akan menghasilkan antibodi seumur hidup berdasarkan kepada maklumat genetik virus tersebut.

Ini bermakna secara  teorinya, seumur hidup, anda boleh mendapat maksimum 4 kali demam denggi.

Simptom penyakit denggi sukar dikenal pasti, perlukan ujian serologi

Oleh sebab kebanyakan jangkitan virus berkongsi simptom dengan penyakit denggi, ia bukanlah satu indikator yang boleh diharap.

Namun, setiap individu perlu mengetahuinya untuk memberikan kesedaran bagi mendapatkan rawatan perubatan di hospital/klinik.

Secara amnya, simptom boleh berlangsung selama 10 hari. Namun, bagi segelintir individu, ia boleh berlaku lebih dari tempoh tersebut.

Antara tanda yang menunjukkan tinggi risiko anda dijangkiti oleh virus denggi adalah seperti berikut:

  1. Demam panas (boleh mencecah sehingga 40 – 41 C)
  2. Sakit kepala teruk
  3. Bengkak pada kelenjar limfa
  4. Sakit sendi dan otot
  5. Ruam 
  6. Loya 
  7. Muntah
  8. Pendarahan pada gusi dan hidung
  9. Lebam-lebam pada kulit
  10. Sawan

Doktor akan membuat ujian darah bagi mendiagnosis penyakit ini untuk membezakannya dengan simptom penyakit lain.

Jika anda positif denggi, doktor akan membuat pemeriksaan klinikal bagi meletakkan anda di bawah pemerhatian atau dibenarkan untuk berehat di rumah.

Tiada ubat spesifik yang direka khas untuk merawat denggi. 

Oleh sebab jangkitan ini akan pulih dengan sendirinya selepas pembentukan antibodi badan, rawatan yang diberi hanyalah berbentuk konservatif.

Ini bermakna, anda akan dirawat berdasarkan simptom yang dialami. Jika demam, anda akan dibekalkan dengan ubat demam.

Walau bagaimanapun, kalau demam anda surut tetapi anda mengalami simptom lain lebih teruk berbanding hari sebelumnya, anda perlu dirujuk ke hospital dengan kadar segera.

Pemeriksaan akan dibuat bagi mengenal pasti jika anda mengalami komplikasi berikutan jangkitan denggi.

Mencegah lebih baik daripada mengubati, hindari jangkitan virus denggi 

Komplikasi yang berpunca daripada demam denggi boleh mengancam nyawa.

Jadi lebih baik jika kita ambil langkah pembasmian nyamuk Aedes bagi mengelakkan demam denggi.

Antara langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:

  1. Sebelum menggunakan tempat kerja yang sudah lama terbiar, bersihkan kawasan dalam dan luar premis.
  2. Semburkan aerosol pada bilik atau ruang yang sudah lama tidak digunakan.
  3. Gunakan repelen untuk lindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.
  4. Aktiviti larvasiding perlu dilakukan secara berkala bagi membunuh jentik-jentik pada kawasan takungan air.
  5. Jika anda mempunyai simptom, sila buat pemeriksaan dengan kadar segera.
  6. Gunakan penghawa dingin dan tutup tingkap.

Konklusi

Penyakit denggi boleh mengancam nyawa. 

Tatkala kita sedang panik dengan COVID-19, kita tidak sedar bahawa virus denggi juga berupaya untuk membunuh dalam diam.

Pastikan anda pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat kesihatan sekiranya dijangkiti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: helloDOKTOR

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.