Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Perak Terima Lebih 1,000 Tempahan Hotel Sejak Ahad

Ipoh: Sektor pelancongan di Perak menerima 1,030 tempahan hotel sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata berdasarkan data oleh Tourism Perak, antara kawasan tumpuan tempahan pelancong ialah Pulau Pangkor, Taiping selain bandar raya Ipoh sendiri.

“Terdapat kira-kira 100 pengusaha hotel di Perak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan setakat hari ini 40 daripadanya memaklumkan mula menerima tempahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Garis Panduan Amalan Terbaik Produk Pelancongan Negeri Perak Pasca COVID-19  di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengenai garis panduan itu, Nolee Ashilin berkata ini merupakan inisiatif kerajaan negeri ke arah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan COVID-19 dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelancong yang berkunjung ke Perak.

“Kita bekerjasama dengan pengusaha industri untuk melaksanakan garis panduan ini seperti pemakaian pelitup separuh muka, penggunaan pensanitasi tangan serta penjarakan sosial apabila semua pusat penginapan dan aktiviti pelancongan beroperasi seperti biasa bermula semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman berkata pihaknya akan memberi tunjuk ajar kepada pengusaha hotel yang mahu melakukan proses sanitasi di premis masing-masing sebelum memulakan operasi.

“Ini termasuk bahan yang digunakan, apa campuran (cecair pembasmi kuman) yang perlu digunakan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT), Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata Lost World Petting Zoo dan Lost World of Tambun Hotel akan dibuka semula kepada orang ramai bermula Sabtu ini.

“Kami juga mengehadkan kemasukkan pada satu-satu masa kepada hanya 8,000 orang berbanding kapasiti maksimum 38,000 pengunjung,” katanya menambah zoo dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 6 petang kecuali Selasa.

Bagaimanapun, seiring SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, beliau berkata kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak akan dibenarkan masuk, manakala pengunjung lain perlu mematuhi SOP seperti memakai pelitup separuh muka.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.