Siakap Keli

Selangor Benarkan Solat Jumaat & Solat Fardhu Berjemaah Mulai Esok Di Masjid-Masjid Terpilih

Solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah sudah mula boleh didirikan di 39 masjid terpilih di Selangor mulai esok.

Menurut kenyataan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Baginda telah berkenan agar masjid dan surau di negeri itu dibuka secara berperingkat melalui beberapa prosedur terkini yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah hendaklah dilaksanakan berkuatkuasa pada hari Jumaat, 12 Jun 2020 (esok).

“Selain itu, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat juga ditambah daripada 12 orang kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid di 39 buah masjid yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini.

Difahamkan, kad akan diedarkan kepada 40 orang untuk hadir pada solat Jumaat tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, mana-mana individu yang tidak dapat menyertai solat Jumaat esok, mereka hendaklah menggantikannya dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

“Solat berjemaah adalah dibenarkan bagi solat fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja di 39 buah masjid yang sama dengan jumlah kehadiran 40 orang, tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

“Sementara itu, semua surau termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih lagi tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga (3) orang pegawai surau seperti yang ditetapkan terdahulu,” tambah kenyataan itu lagi.

Para jemaah yang menghadiri solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah seperti yang demikian hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: Selangor Royal Office

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'