Siakap Keli

“Saya Percaya Akhirnya Majlis Perkahwinan Juga Akan Dibuka” – Ismail Sabri

Kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan mungkin akan diberikan selepas ini secara berperingkat dari semasa ke semasa mengikut prosedur operasi standard (SOP), menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan termasuklah dengan majlis nikah secara bersemuka dengan dihadiri 20 orang tetamu berbanding majlis nikah secara dalam talian sebelum ini.

Oleh itu, menurut beliau kemungkinan jumlah yang lebih besar melibatkan majlis perkahwinan akan dibenarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat selepas ini.

”Kalau kita lihat, banyak yang telah pun mula dibuka satu persatu, dari segi perkahwinan misalnya kita mulakan dengan kebenaran bernikah pada mulanya dengan melalui online sahaja, selepas itu kita benarkan bersemuka dengan jumlah maksimum 20 orang.

”Ini bermakna, kita sudah makin membuka dan saya percaya mungkin ke arah jumlah yang lebih besar itu akan dibenarkan dari semasa ke semasa, kita buka secara berperingkat dan saya percaya akhirnya majlis perkahwinan juga akan dibuka,” kata beliau.

Tambah Ismail Sabri, jangkaan penganjuran semula majlis perkahwinan akan ditentukan selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibentangkan di dalam Menysurat Khas Menteri-Menteri untuk kelulusan.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan cadangan SOP daripada pengusaha industri perkahwinan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

”Bila masanya, akan ditentukan selepas perbincangan antara MKN, KKM dan mungkin akan dibentangkan di dalam Mensyuarat Khas Menteri-Menteri untuk memberi kebenaran.

”Tetapi, jikalau pengusaha majlis perkahwinan ini ingin mengemukakan cadangan SOP, kita mengalu-alukan, kalau perkara itu dah ada mungkin bila dah diumumkan nanti boleh dilakukan terus tanpa meunggu lagi dengan menghantar cadangan tersebut kepada MKN,” kata beliau.

Ismail Sabri mengulas perkara ini ketika menjawab soalan media mengenai industri perkahwinan yang mengalami kerugian besar berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun dan akan berakhir pada 31 Ogos.

Sumber: Sidang Media PKPP

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.