Siakap Keli
kluster kunjung mengunjung
Kredit: Google/Bloomberg

Kes COVID-19 Naik Mendadak Disyaki Akibat Aktiviti Kunjung-Mengunjung & Majlis Keramaian, Kerajaan Victoria Di Australia Tarik Balik Kelonggaran

Kerajaan negeri Victoria di Australia mengumumkan akan memanjangkan perintah darurat untuk sekurang-kurangnya empat minggu berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu. Hal ini dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung dan majlis keramaian melibatkan komuniti di sana.

Menurut The Guardian, Menteri Kesihatan Australia, Jenny Mikakos berkata, sebanyak 19 kes baru dilaporkan di mana 10 daripadanya berpunca daripada aktiviti sosial.

Angka itu menjadikan jumlah kes di negeri berkenaan sebanyak 1,836 kes dengan 121 kes aktif, tertinggi dalam dua bulan.

“Ia situasi yang serius. Kami khuatir dengan beberapa perkara termasuk aktiviti kunjung mengunjung sesama keluarga, melawat satu sama lain walaupun mereka mempunyai simptom ringan,” katanya.

Susulan itu, kerajaan negeri itu memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung di negeri berkenaan sekurang-kurangnya sehingga 20 Julai ini.

Tambah Mikakos, sebanyak 77 kes dicatatkan dalam empat hari sebelum hari Ahad, manakala kes hari ini melibatkan satu kluster sebuah keluarga yang menjangkiti sembilan keluarga lain.

Sementara itu, sebuah sekolah rendah di Hampton terpaksa ditutup susulan seorang pelajar tahun tiga disahkan positif dan hadir ke kelas. Pengesanan kontak sedang dijalankan.

Sehubungan itu, beberapa daerah berhampiran negeri itu kini mempertimbangkan semula pembukaan sempadan antara daerah dengan Victoria.

Jika pandang remeh, PKPP mungkin kembali menjadi PKP

Perkara ini turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia yang berkongsi berita berkenaan di Facebook mereka.

Pesan kementerian, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Malaysia mungkin boleh kembali menjadi PKP jika orang ramai memandang remeh prosedur operasi standard (SOP) di negara ini.

Kerajaan Negeri Victoria, Australia, terpaksa membatalkan rancangan untuk melonggarkan kawalan pergerakan selepas kes COVID-19 kembali meningkat berpunca aktiviti kunjung mengunjung antara ahli keluarga dan majlis keramaian.

Justeru, kerajaan negeri terpaksa mengetatkan kawalan pergerakan bermula Ahad ini.

Hanya lima tetamu dibenarkan di setiap rumah dan 10 orang jika berjumpaan di luar rumah. Aktiviti sosial dihadkan dan premis perniagaaan hanya boleh membenarkan 20 pelanggan pada satu masa.

Ada penduduk di Victoria yang positif COVID19 masih ke tempat kerja dan berkunjung ke rumah ahli keluarga lain.

Senario di Victoria ini boleh dijadikan pengajaran kepada kita supaya mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan.

Sentiasa amalkan penjarakan sosial dengan mengelak diri dari tempat sesak, sempit dan sembang dekat-dekat (3S).

Jika kita tidak amalkan penjarakan sosial apabila berada di luar rumah, bermakna rumah kita tidak lagi selamat.

Aktiviti berkumpul atau perhimpunan ramai masih tidak dibenarkan di negara kita.

Jika masih ada yang ingkar dan pandang remeh, PKPP akan kembali menjadi PKP.

Semalam, Malaysia mencatatkan kluster baru COVID-19 melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung di Sepang.

Kerajaan Negeri Victoria, Australia, terpaksa membatalkan rancangan untuk melonggarkan kawalan pergerakan selepas kes…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Saturday, June 20, 2020

Sumber: The Guardian, Kementerian Kesihatan Malaysia, Covid Live Australia

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.