Siakap Keli

Ibu Dua Anak Menghidap Kanser Payudara Tahap 2 Antara 50 Individu Ditahan Positif Dadah

ALOR SETAR, 26 Jun (Bernama) — Seorang wanita, yang menghidap kanser payudara tahap dua, antara 50 individu yang ditahan positif dadah dalam operasi yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Rabu lepas, pukul 10.45 pagi, wanita berusia 21 tahun itu ditahan kerana positif dadah jenis syabu.

“Siasatan awal mendapati wanita, yang mempunyai dua anak berusia enam bulan dan tiga tahun, itu telah terlibat dengan pengambilan dadah jenis syabu sejak berumur 16 tahun lagi.

“Lebih menyedihkan, dia kini menghidap kanser payu dara sejak dua tahun lepas dan semasa tangkapan suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arnida berkata dalam Op Total Enforcement (TE) II yang bermula 22 hingga 24 Jun lepas, pihaknya menggempur 19 kawasan di sekitar daerah itu dan menahan 58 individu yang terdiri daripada 55 lelaki dan tiga wanita yang berumur antara 15 hingga 65 tahun.

“Hasil saringan ujian urin, 50 individu didapati positif dadah jenis syabu dan morfin manakala lapan lagi negatif. Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“Operasi kali ini menumpukan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) iaitu di Mukim Sungai Petani, Mukim Sungai Pasir dan Mukim Semeling dan operasi akan terus dijalankan bagi mengekang aktiviti berkaitan dadah di daerah ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'