Siakap Keli

Orang Ramai Diminta Jangan Terus Bunuh Lebah, Dikhuatiri Boleh Diancam Kepupusan

SHAH ALAM, 30 Jun (Bernama) — Mungkin ramai beranggapan lebah merupakan serangga berbisa dan berbahaya yang perlu dihapuskan, namun terfikirkah anda bahawa hidupan itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam ekosistem tumbuhan?

Selain menjadi ‘penghasil’ madu asli berkhasiat untuk kesihatan manusia, lebah juga merupakan antara ‘agen’ utama dalam aspek pendebungaan, supaya tumbuhan dapat terus hidup dan membiak secara semula jadi.

Bagi sukarelawan Persatuan Penyelamat Lebah Malaysia atau ‘MY Bee Saviour’ Ooi Leng Chye, 47, beliau melihat rata-rata masyarakat di negara ini masih kurang kefahaman, malah tidak mengambil kisah akan kepentingan serangga kecil itu dalam rantaian kehidupan tumbuh-tumbuhan.

Ini kerana katanya, masih banyak pihak mengambil pendekatan untuk menghapuskan terus sarang lebah dengan cara membakarnya, jika ditemui pada bangunan atau rumah, kerana khuatir serangga itu akan menyerang dan menyengat mereka.

“Jika sarang lebah dihapuskan berterusan, berkemungkinan besar kita akan menghadapi kepupusan serangga tersebut. Mungkin ramai tidak tahu, ada negara yang diancam kepupusan lebah liar, terpaksa ‘menyewa’ sarang lebah daripada penternak serangga itu, untuk melakukan pendebungaan tumbuhan.

“Lebah sebenarnya tidak mendatangkan bahaya melainkan kita jolok sarangnya, memukulnya atau ia terdengar bunyi bising mesin rumput. Itu menyebabkan koloni serangga tersebut berasa terancam, lalu menyerang manusia.

“Serangga ini juga mudah tertarik kepada bau wangian. Jadi, jika ada lebah datang kepada anda yang memakai minyak wangi, jangan cuba memukul atau menepisnya, kerana itu akan membuatnya ‘marah’. Biarkan saja kerana ia pasti akan pergi sendiri,” katanya kepada Bernama selepas melakukan kerja-kerja memindahkan satu sarang lebah di sebuah rumah, di Setia Alam di sini.

Berbekalkan pengalaman kira-kira dua tahun sebagai sukarelawan MY Bee Saviour untuk memindahkan sarang lebah secara percuma, Ooi mengakui beliau bukanlah pakar dalam bidang berkenaan, namun sifat sayang kepada serangga kecil itu, menyebabkan dirinya berusaha meningkatkan kemahiran untuk ‘mengalihkan’ sarang di mana-mana bangunan atau kediaman dengan betul, ke tempat lebih selamat demi memelihara populasi hidupan terbabit.

Malah katanya, segala peralatan yang diperlukan untuk melakukan kerja-kerja pemindahan sarang lebah seperti sarung tangan, pelindung muka, baju pelindung lebah dan topi berjaring disediakan sendiri, sebagai langkah-langkah keselamatan.

Menurut Ooi yang merupakan seorang pengaturcara perisian komputer di sebuah syarikat swasta, kebiasaannya lebah kampung dan lebah lalat yang banyak bersarang pada bangunan atau kediaman di negara ini, namun kedua-dua spesis itu tidak berbahaya kepada manusia.

“Melainkan lebah tualang, ia agak berbahaya kerana ia lebih besar dan agresif, tetapi ia biasanya hidup di hutan. Namun, formulanya mudah sahaja, jangan kacau sarang mereka dan ia tidak akan menyerang anda.

“Mana-mana sarang lebah lalat dan lebah kampung di bangunan yang ahli MY Bee Saviour pindahkan, kami akan ambil bawa balik dan bela di rumah. Bagi sarang lebah tualang pula, biasanya kami akan alihkan semula habitat asal mereka di hutan,” katanya.

Justeru kata Ooi, beliau amat mengharapkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membakar sarang-sarang lebah yang dijumpai, sebaliknya menghubungi MY Bee Saviour, supaya sarang berkenaan dapat dialihkan ke tempat selamat dan koloni serangga itu terus terpelihara.

Tambah beliau, sejak MY Bee Saviour ditubuhkan pada tahun 2015 hingga kini, persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) itu, mempunyai kira-kira 136 ahli seluruh negara dan kebanyakan yang aktif memindahkan sarang lebah, adalah di sekitar Lembah Klang.

Katanya, persatuan itu juga sedang berusaha menjalin bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam, untuk memastikan sarang-sarang lebah tidak dihapuskan, sebaliknya dipindahkan ke tempat selamat dengan cara yang betul.

Ooi berkata, orang ramai yang memerlukan khidmat persatuan itu secara percuma, boleh melayari laman Facebook MY Bee Savior, untuk maklumat lanjut.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'