Siakap Keli
datuk dibunuh culik ahli politik
Kredit: Bernama

Culik & Bunuh Datuk Seri: 6 Lelaki Termasuk Seorang Ahli Politik Didakwa

PETALING JAYA, 9 Julai (Bernama) — Enam lelaki termasuk seorang ahli politik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, berhubung kes menculik ahli perniagaan, Datuk Seri R. Arumugam yang mayatnya ditemukan di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun lalu.

Lima lelaki iaitu Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N. Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42, didakwa menculik Arumugam, 55, yang juga pemaju hartanah, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah SGD50 juta (RM153 juta).

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, di sini, pada 10.30 pagi, 10 Jun, mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh iaitu bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) lalu, Datuk K. Ramachandran, didakwa bersubahat bersama lima tertuduh tersebut, dengan niat untuk menahan mangsa sama bagi mendapatkan wang tebusan dengan nilai serupa, di tempat dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 3 Akta Colek yang membawa hukuman sama.

Keenam-enam lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa, di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka, kerana kes melibatkan hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan pengakuan akan diambil, selepas kes dipindahkan ke mahkamah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan, kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Dalam prosiding itu, hanya Ramachandran diwakili peguam R.Sivaraj, manakala Datuk Geethan Ram Vincent hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes dan laporan DNA.

Sebelum ini, Bernama melaporkan mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Bandar Sri Damansara, 10 Jun lepas, dan mayatnya ditemukan di kawasan belukar pada 27 Jun lalu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.